KUALA LUMPUR - Seorang penyewa kereta mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan mencuri kereta sewa jenis Honda Civic dan cuba membunuh rakan kongsi pemilik kenderaan itu, minggu lalu.
Pekerja restoran makanan segera Muhammad Wan Azhar Azman, 20, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan, di hadapan Hakim, Azrul Darus.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 2 Disember depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan tertuduh merupakan seorang pesalah muda, bawah umur 21 tahun.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu kenderaan secara berbahaya sehingga menyebabkan rakan kongsi pemilik kereta sewa iaitu Mohamed Jalil Iskandar, 28, berpaut pada bonet hadapan kenderaan itu sebelum tercampak dan mengalami kecederaan parah.
Sedangkan tertuduh sedar perbuatan itu boleh menyebabkan kematian, pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Kes ini dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin kerana pertuduhan berkenaan termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam berkata, ahli keluarganya tidak hadir ke mahkamah untuk proses ikat jamin.
"Sebelum ini saya tinggal di asrama yang disediakan oleh majikan di Cyberjaya,” katanya.