Hubungan persahabatan Malaysia-China kian matang

Iklan
Abdul Majid (kiri) bersama Chun Wai (dua dari kiri) melihat cenderahati yang disampaikan kepada wakil CMG dalam lawatan ke konglomerat media China tersebut di Beijing.

HANGZHOU - Hubungan diplomatik antara Malaysia dan China memperlihatkan kematangan apabila mampu menangani pelbagai isu serta cabaran melibatkan kedua-dua negara.

Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC), Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata, tempoh persahabatan yang terjalin sejak 50 tahun lalu itu menjadikan kedua-dua negara menyelesaikan perkara berbangkit secara bersama.

Iklan
Iklan

"Memang dalam perjalanan hubungan sesuatu negara itu tidaklah begitu sempurna. Jadi sebarang isu berbangkit melibatkan kedua-kedua negara harus ditangani dengan baik. Ini juga sebenarnya perkara biasa dalam hubungan dua hala mana-mana negara.

Delegasi Malaysia turut bertukar-tukar pandangan bersama wakil Beijing Jiaotong University, Beijing.

"Saya ingat tahap persahabatan dan hubungan Malaysia dengan China telah mencapai satu peringkat yang matang dan tinggi. Jadi saya percaya perkara yang baru-baru berlaku ini akan dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik dan ini akan menguntungkan kedua-dua negara," katanya kepada pemberita ketika Lawatan Media Ke China sempena Sambutan Ulang Tahun Persahabatan ke-50 Malaysia-China di sini.

Iklan

Lawatan anjuran PPMC itu merupakan sebahagian program bagi memperlihatkan hubungan sesama rakyat Malaysia dengan China untuk memahami serta mengenali budaya, bahasa dan peranan media kedua-dua negara.

Antara wakil media yang turut serta dalam lawatan selama enam hari bermula 24 Oktober itu termasuklah dari organisasi seperti Bernama, Berita Harian, Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.

Iklan

Menerusi lawatan yang diketuai Abdul Majid dan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai itu, wakil media dibawa merasai pengalaman selama tiga hari di Beijing antara lain bertemu wakil pemimpin negara China termasuklah Timbalan Pengarah Jabatan Informasi, Kementerian Luar China, Hu Jian.

Abdul Majid (tengah) menerima cenderahati daripada Naib Presiden Beijing Foreign Studies University, Prof Zhao Gang dalam lawatan ke universiti berkenaan.

Delegasi seramai 11 orang itu juga berkesempatan bertemu dengan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad serta pegawai kedutaan di Pejabat Kedutaan Malaysia di Beijing.

Dalam lawatan itu juga, wakil media turut melawat organisasi media terkemuka di China iaitu People's Daily dan China Media Group (CMG) bagi melihat sendiri pengoperasian serta penggunaan teknologi terkini dalam bidang kewartawanan.

Hari terakhir di Beijing, peserta lawatan mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia yang menuntut di Beijing Jiaotong University dan pelajar China yang mengambil kursus Pengajian Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University.

Rombongan delegasi Malaysia kemudiannya meneruskan perjalanan menuju ke Hangzhou bagi mengikuti beberapa program diaturkan termasuklah lawatan budaya di Tasik Barat selain berkunjung ke Muzium Mutiara Air Tawar dan Bandar Barangan Kemas (Jewelry City).

Lawatan tersebut diakhiri dengan pertemuan bersama wakil syarikat Geely Group dan syarikat automotif negara, Proton di Ibu Pejabat Geely Group di sini.

Sementara itu, Abdul Majid berkata, hasil beberapa kunjungan dan pertemuan sepanjang lawatan itu berjaya membuka lembaran baharu dalam mengukuhkan hubungan Malaysia-China untuk 50 tahun akan datang.

Menurutnya, hubungan akrab kedua-dua negara itu dilihat akan terus terjalin serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia mempelajari teknologi dan kepakaran dalam pelbagai bidang daripada China.

"Boleh dikatakan hubungan Malaysia-China telah mencapai kemuncaknya pada tahun 2024 terutamanya sekali dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan juga pelancongan dan saya boleh katakan juga dalam bidang pendidikan kerana tahun ini kita menerima bilangan yang tertinggi kemasukan pelajar dari China ke beberapa universiti di Malaysia.

"Peningkatan perdagangan antara Malaysia dan China berlanjutan selama 15 tahun. Malaysia merupakan rakan dagang pertama China dan juga China telah merupakan pelabur asing yang ketiga dalam Malaysia. Jadi ini merupakan satu dinamik yang harus kita pelihara.

Katanya, selain itu, kerancakan China meneroka bidang teknologi terutama dalam kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan elektrik (EV) boleh memberi manfaat kepada Malaysia.