PDRM, MCMC bekerjasama siasat kumpulan 'sexual grooming' kanak-kanak

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk tindakan mengenai kewujudan kumpulan yang menjalankan aktiviti pengantunan seksual (sexual grooming) kanak-kanak di akaun media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan diambil melalui Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Iklan
Iklan

"D11 JSJ akan mendapatkan maklumat dan bantuan daripada MCMC serta pihak Meta berhubung perkara tersebut.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung perkara tersebut,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Pada 26 Oktober lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan MCMC ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan kanak-kanak di akaun media sosial.

Berikutan itu, PDRM sudah memulakan siasatan mengenai dakwaan kewujudan kumpulan terbabit.

Iklan

Siasatan dilakukan selepas polis menerima maklumat daripada MCMC berhubung kewujudan kumpulan berkenaan yang menjalankan aktiviti menerusi hantaran di aplikasi X.

PDRM akan mengenal pasti jenis aktiviti yang sedang berlangsung dalam kumpulan tersebut, manakala MCMC selaku agensi teknikal akan membantu dalam pemeliharaan data dan profil akaun berkenaan.