SHAH ALAM - Ahli politik kini sering menggunakan isu perkauman demi meraih sokongan daripada masyarakat atas alasan melindungi agama.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk bermusuh hanya disebabkan perbezaan fizikal.
"Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membuat ucapan perkauman yang secara halus mengatakan orang Melayu mesti bersatu untuk melawan orang Cina.
"Saya pelik, dia nak kata mata sempit tu orang Cina, jadi yang mata bulat macam dia ialah Melayu.
"Saya tenung-tenung gambar dia dengan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen. Saya rasa mata mereka sama sempit dan semua bulat,” katanya menerusi satu hantaran video di laman sosial, X pada Jumaat.
Sebelum ini, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman pada perhimpunan mengibarkan bendera Malaysia di Menara Condong Teluk Intan, Perak.
Perhimpunan itu diadakan susulan insiden pengibaran bendera China di lokasi sama semasa festival kebudayaan Guan Gong.
Mengulas lanjut, Rafizi memaklumkan bahawa beliau malu akan kenyataan yang dibuat oleh Razman itu kerana sejarah Islam di China lebih lama berbanding Malaysia.
Menurutnya, jumlah orang Islam di China dijangka sekitar 30 juta hingga 50 juta orang bahkan lebih ramai berbanding bumiputera Islam di negara ini.
"Saya tak terkejut Razman terus buat kenyataan berbahaya seperti ini. Dia ada rekod buka mulut kena saman. Dengan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dia minta maaf. Dengan Lim Guan Eng, bayar saman kerana memfitnah.
"Saya terkejut sebab Pas masih kekalkan dia sebagai Pesuruhjaya Pas Perak. Rosak pemikiran anak muda ada wakil rakyat macam ini,” ujarnya.