KUALA LUMPUR - Tujuh rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan dijadual pulang ke tanah air pada Jumaat selepas hampir dua bulan ditahan di pusat tahanan imigresen Kemboja.
Kumpulan itu, yang ditahan oleh pihak berkuasa imigresen selepas melarikan diri daripada sindiket pemerdagangan manusia pada awal September, akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada petang ini setelah Jabatan Imigresen Sihanoukville membenarkan mereka meninggalkan Kemboja.
Kebanyakan mangsa berasal dari Sarawak, dengan lima daripadanya adalah wanita.
"Pegawai imigresen di sini memaklumkan kami boleh pulang. Kami sangat teruja untuk pulang dan bertemu keluarga, tetapi ini merupakan pengalaman pahit yang sukar dilupakan,” kata seorang daripada mangsa kepada Bernama menerusi panggilan telefon dari pusat tahanan Sihanoukville pada Khamis.
Mereka ditawarkan pekerjaan di kasino di wilayah pesisir Sihanoukville oleh sindiket dan tiba di Kemboja pada Mei.
Namun, impian itu bertukar menjadi mimpi ngeri selepas mereka diperdaya dan dihantar ke pusat penipuan dalam talian dan dikerah bekerja sebagai penipu atau 'scammer'.
"Ini adalah hari-hari yang sangat sukar untuk kami dan keluarga. Jangan sesekali menerima tawaran pekerjaan melalui telefon atau percaya kepada janji bergaji tinggi di luar negara tanpa membuat semakan teliti.
"Kami bersyukur dapat pulang dan meneruskan kehidupan di Malaysia,” katanya.
Seramai 10 rakyat Malaysia, termasuk tujuh mangsa dan tiga lagi yang ditahan sebelum ini dijadual pulang ke tanah air hari ini.
Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Milton Foo Tiang Wee mengesahkan pembebasan kumpulan itu dan menyatakan kepulangan segera mereka hasil usaha antara kerajaan.
"Saya dimaklumkan oleh Kedutaan Malaysia di Phnom Penh pada 28 Oktober bahawa rakyat Sarawak kita boleh pulang pada 1 November.
"Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar berhati-hati dengan tawaran pekerjaan bergaji tinggi di luar negara memandangkan peningkatan kes pemerdagangan manusia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
"Jangan percaya sebarang iklan pekerjaan atau skim pelaburan pulangan tinggi di media sosial bagi mengelakkan terjerumus ke dalam perangkap sindiket penipuan dalam talian,” kata Tiang Wee kepada Bernama dalam satu temu bual telefon pada Khamis. - Bernama