DUA pelumba Moto2 negara yang beraksi menerusi tiket peluang khas, Khairul Idham Pawi dan Muhammad Helmi Azman, memiliki kelebihan pada Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (GP) Malaysia 2024 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu.
Pengurus Pasukan Petronas MIE Racing RW, Razmin Masli Abdul Razak berkata, keadaan cuaca termasuk ribut petir, mungkin memberi keselesaan kepada Khairul Idham atau lebih dikenali ‘SuperKIP’ dan Helmi.
"Cuaca tidak menentu mengikut ramalan MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia), kemungkinan ribut petir melanda SIC sepanjang hujung minggu ini.
"Namun saya rasa pelumba kita mungkin selesa berlumba dalam keadaan litar basah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khairul Idham sebelum ini pernah melakar kejutan sewaktu membuat kemunculan sulung pada Moto3 dengan muncul juara dua GP masing-masing di Argentina dan Jerman, yang kebetulan berlangsung dalam keadaan hujan.
Khairul Idham pernah berlumba dalam saingan Moto2 bersama Idemitsu Honda Team Asia bagi musim 2017 hingga 2019.
Musim lepas pula menyaksikan Helmi, yang beraksi pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024, membuat kemunculan pertama di Moto2 menerusi tiket peluang khas pada GP Malaysia, dengan menamatkan saingan di tempat ke-23 daripada 31 pelumba.
Dalam pada itu Razmin memberi jaminan pasukan berkenaan menyediakan jentera Moto2 yang terbaik bagi Khairul Idham dan Helmi, untuk menampilkan saingan hebat pada perlumbaan sebenar Ahad ini.
Beliau berkata, kedua-dua pelumba berkenaan akan dibekalkan dengan jentera yang diubah suai mengikut spesifikasi terkini, termasuk sistem elektronik dan casis 2023.
Bagaimanapun beliau mengakui Khairul Idham dan Helmi masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera itu, berdasarkan prestasi dipamerkan pada sesi latihan pagi tadi.
Helmi menduduki tempat ke-28 dengan catatan masa 2 minit 09.55 saat (s) manakala Khairul Idham pula di kedudukan tercorot (2:10.195s). - Bernama