ADUN Subang Jaya dilantik Pengerusi JKPPP

Iklan
Mei Sze

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan (JKPPP).

Dalam kenyataan bersama Mei Sze dan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari itu memaklumkan, kerajaan Selangor mengumumkan penubuhan JKPPP pada 20 September lalu.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa itu diberi mandat untuk menyemak, menilai dan menambah baik undang-undang berkaitan perkhidmatan penjagaan bagi kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya di negeri Selangor.

Anfaal

"Dalam tempoh setahun akan datang, tumpuan utama jawatankuasa ini adalah untuk memperbaiki garis panduan dan peraturan berkenaan penjagaan kanak-kanak di Selangor," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Iklan

Menurut kenyataan itu, berdasarkan laporan polis terkini, kes penderaan dan penderaan seksual kanak-kanak di negeri ini tertinggi dalam negara selama tiga tahun berturut-turut.

Kenyataan itu memberitahu, jawatankuasa tersebut akan mengenal pasti dan meneliti kelompangan dalam sistem sedia ada serta mencari jalan untuk memperbaikinya.

Iklan

"Selain aspek keselamatan, garis panduan sedia ada juga akan dikaji dari sudut praktikal untuk menggalakkan lebih ramai pengusaha mendaftarkan pusat mereka dengan agensi kerajaan berkenaan.

"Contohnya, syarat untuk menjalankan operasi di rumah penjuru apabila bilangan kanak-kanak dalam jagaan melebihi empat orang yang akan menaikkan kos operasi serta proses memohon kebenaran merancang yang melibatkan fi kepakaran.

"Amatlah penting supaya sebarang penambahbaikan yang dicadangkan tidak membebankan pengusaha pusat penjagaan secara tidak wajar tetapi tetap menjamin keselamatan dan kebajikan kanak-kanak," tambah kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, dengan peningkatan penduduk di Selangor kesan migrasi, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan dijangka meningkat.

Sehubungan itu, kenyataan itu memaklumkan, usaha penambahbaikan adalah kritikal untuk memastikan kebajikan dan keselamatan golongan paling terdedah terjamin.

"Kerajaan negeri Selangor komited untuk melindungi dan memperkukuhkan keselamatan kanak-kanak serta akan terus mengutamakan langkah-langkah yang proaktif dan berpandangan jauh bagi memastikan sistem penjagaan di negeri ini memenuhi piawaian tertinggi," kata kenyataan itu.