KUALA LUMPUR - Kebergantungan keterlaluan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) menyebabkan masyarakat sudah tidak lagi membaca.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak salah untuk memanfaatkan AI dengan sebaiknya dalam pembelajaran namun pelajar tidak harus meninggalkan budaya membaca dan berfikir secara kritikal untuk menimba ilmu.
"Kita boleh bergantung pada AI, cuma jangan tinggalkan yang asas. Perlu membaca, belajar dan berfikiran kritis, baru boleh memanfaatkannya.
"Kebergantungan keterlaluan kepada AI membuatkan kita sudah tidak membaca buku kerana semua jawapan ada di Google tapi jawapannya hanya sekadar rumusan dan ringkasan.
"(Akhirnya) Apa yang tidak kita lakukan adalah membaca, yang mana apabila kita menelaah buku, dapat lihat daripada keseluruhan pemikiran. Kita tidak boleh ambil satu cebisan (ilmu) sahaja,” katanya dalam program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Lembaga UPNM, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
Tambah Anwar, walaupun kandungan yang dikeluarkan oleh AI adalah tepat, namun tidak bermakna konteks kepada maklumat itu juga bertepatan.
"Bukan bermakna maklumat itu tidak betul tetapi konteks juga kadang-kadang tidak betul. Dalam apa-apa pun, termasuk belajar al-Quran ada teks dan konteks, ada ayat, tafsir dan takwil. Itu daripada awal kita dilatih untuk apa yang disebut sebagai terjemahan dan tafsiran," katanya.
Sementara itu, Zambry yang turut menjawab persoalan mengenai AI dalam program berkenaan menjelaskan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil pendekatan untuk melaksanakan kursus AI di seluruh universiti dengan memulakannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurutnya, ia dilaksanakan bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam mempelajari teknologi tersebut.
"Cuma yang menjadi persoalan bagaimana kita mahu mewujudkan pembelajaran bermakna kerana ada dua kemungkinan. Apabila menggunakan AI ini, kita akan melaksanakan pembelajaran bermakna.
"Tetapi kita ada satu yang bahaya, iaitu deepfake (video, imej dan suara palsu). Inilah cabaran dunia pendidikan dan persiapan kini sedang dibuat di peringkat KPT," jelasnya.