Pengusaha perigi terapi ion dinasihatkan henti sementara operasi - Pegawai Daerah

Iklan
Mohd Zamri ketika melihat maklumat berhubung perigi terapi ion.

REMBAU - Pejabat Daerah dan Tanah Rembau menasihatkan pengusaha perigi terapi ion di Ulu Sepri di sini yang didakwa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit, untuk menghentikan sementara operasinya sehingga siasatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selesai.

Pegawai Daerah Rembau, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, pihaknya juga telah ke lokasi bersama Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Sembilan pada Selasa lalu untuk menjalankan siasatan terperinci.

Iklan
Iklan

"Susulan itu, pihak BKSA Negeri Sembilan telah mengeluarkan satu surat arahan kepada pengusaha untuk membuat permohonan Lesen di bawah Akta Air 1920 (Akta 418) dibaca bersama Enakmen Air (Pindaan Akta Air 1920) 2007 kerana pengusaha menggunakan air sungai yang diabstrak tanpa lesen.

"Pengusaha diberi tempoh selama 14 hari untuk membuat permohonan tersebut di BKSA Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Iklan
Mohd Zamri menunjukkan gambar perigi hasil siasatan di lokasi.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan pemantauan daripada semasa ke semasa memandangkan lokasi itu kini menjadi tumpuan ramai.

"Siasatan di lokasi mendapati pengunjung sudah mula memenuhi kawasan-kawasan khemah yang didirikan oleh pengusaha yang mana kawasan bagi operasi perigi tersebut merupakan Tanah Adat dan Syarat Nyata bagi tanah adalah Pertanian (dusun)," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau mengalukan-alu mana-mana pihak yang ingin mengusahakan sebarang produk atau aktiviti pelancongan di daerah ini, namun perlu mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa.

Baru-baru ini, tular di media sosial yang mendakwa penggunaan air dari perigi di Rembau mampu memberi manfaat kesihatan kepada individu yang menghidap pelbagai penyakit termasuk strok menerusi teknologi rawatan khas.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi aplikasi X kemudian memaklumkan akan mengambil perhatian serius terhadap isu berkenaan.

Sementara itu, tinjauan di lokasi setakat jam 4 petang Jumaat, mendapati ia terus menjadi tumpuan orang ramai.