KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun 10 bulan, yang mendakwa menjadi mangsa seksual bapa tiri membuat laporan sendiri di balai polis.
Perkara itu didedahkan pihak pendakwaan selepas seorang lelaki dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya, dua minggu lalu.
Dalam kes terbabit, seorang pemandu e-hailing berusia 37 tahun itu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tuduhan berkenaan di hadapan Hakim, Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu ayah tiri kepada mangsa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu bagi tujuan seksual.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri pada jam 12 tengah hari, 19 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sekurang-kurangnya dua sebatan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Atiqa Nazihah Azmi tidak menawarkan ikat jamin kerana tertuduh dan mangsa tinggal dalam rumah yang sama.
Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk menawarkan jaminan, kadar itu ditetapkan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
"Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis terdekat dan tidak mendekati mangsa atau saksi, selain tidak boleh tinggal sebumbung dengan mangsa sehingga kes selesai,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, K Narandra dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh berkata, tertuduh menyara dua anak tiri dan seorang anak kandung berusia 11, sembilan dan satu tahun bersama isterinya yang juga ibu kepada mangsa.
"Hari ini, isterinya hadir ke mahkamah untuk menjamin tertuduh, maka saya cadangkan ikat jamin ditetapkan pada kadar yang munasabah, selain tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan,” katanya.
Hakim: Siapa buat laporan polis?
Atiqa Nazihah: Mangsa sendiri yang membuat laporan polis itu, jadi isu utama ialah mengasingkan tertuduh dengan kanak-kanak terbabit, saya mencadangkan lelaki itu tidak diberi ikat jamin.
Narandra: Yang Arif, tertuduh akan tinggal di rumah abangnya di Putrajaya sementara mangsa akan hantar ke sekolah asrama.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan 2 Disember depan untuk sebutan semula kes.