SHAH ALAM - Syarikat berkaitan kerajaan (GLIC), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta platform fesyen e-dagang terkemuka, FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) digesa memberikan penjelasan berhubung kerugian besar RM43.9 juta yang dialami dalam pelaburan.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, isu tersebut telah membangkitkan pelbagai spekulasi dan persoalan masyarakat kerana ia melibatkan syarikat yang terkenal.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui punca kerugian memandangkan ia melibatkan penggunaan dana awam dalam pelaburan yang tidak menguntungkan.
"Pihak yang bertanggungjawab harus memberikan penjelasan untuk menenangkan rakyat supaya mereka tahu apa sedang berlaku dan mengelakkan sebarang spekulasi atau kenyataan yang tidak sepatutnya.
"Ini bukan satu nilai yang kecil. Syarikat tersebut perlu disiasat secara menyeluruh untuk mengenal pasti jika wujudnya sebarang ketirisan.
"Jika benar berlaku kebocoran, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali pada masa hadapan walaupun sekarang nasi sudah menjadi bubur,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Isnin, Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan, Khazanah dan PNB sekadar memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023 berbanding pelaburan RM47 juta oleh Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta.
Dalam pada itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan FashionValet dan proses pelaburan kedua-dua syarikat berkenaan bagi memastikan tiada unsur penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.
"MCW juga mencadangkan supaya tadbir urus korporat dalam institusi pelaburan awam seperti Khazanah dan PNB ditingkatkan dengan memperkenalkan kawalan ketat dan prosedur penilaian lebih teliti sebelum pelaburan besar diluluskan.
"Selain itu, MCW menekankan bahawa aspek akuantabiliti dan ketelusan perlu dipertingkatkan termasuk pendedahan maklumat mengenai pelaburan dan prestasi pelaburan yang dilakukan institusi ini.
"Sekiranya berlaku ketirisan atau pengabaian dalam proses membuat keputusan, tindakan perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab agar hal begini tidak berulang,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook.
Pada Khamis, Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata Khazanah, PNB dan FashionValet perlu memberikan penjelasan berhubung kerugian pelaburan tersebut.
Beliau berkata, ramai dalam kalangan rakyat membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu sehingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik dalam media sosial.
"Sudah tentu ramai yang bertanya mengenainya kerana ia adalah dana awam. Bagaimanapun untuk berlaku adil kepada semua pihak, baik Khazanah atau FashionValet, kita perlu memberi sedikit masa kepada mereka untuk memberikan penjelasan," katanya.