SHAH ALAM - Usahawan fesyen terkenal, Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Anuar mengumumkan bakal melepaskan jawatan sebagai pengasas bersama dalam Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet) susulan kerugian yang dilaporkan ditanggung Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) baru-baru ini.
Vivy berkata, dia dan suami memohon maaf kepada Khazanah dan PNB berikutan kontroversi yang mengaitkan kedua-dua entiti itu selain menegaskan bakal mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan pelaburan tersebut.
"Khazanah dan PNB sentiasa bertindak profesional demi kepentingan organisasi. Kami berharap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang buat mereka untuk terus menyokong usahawan tempatan yang lain.
"Rasanya sudah tiba masa untuk kami melangkah keluar daripada perniagaan dan melepaskan jawatan.
"Kami tidak mahu isu-isu seterusnya menjejaskan syarikat memandangkan ia sedang berada dalam fasa pemulihan," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Jumaat.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MoF) menerusi jawapan bertulis bertarikh 28 Oktober yang disiar di laman sesawang Parlimen pada Selasa memaklumkan, Khazanah dan PNB hanya menerima RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam Fashion Valet.
Kementerian itu menjelaskan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik berikutan kedua-dua entiti terbabit melabur sebanyak RM47 juta (Khazanah: RM27 juta, PNB: RM20 juta) untuk pegangan minoriti masing-masing dalam syarikat berkenaan pada 2018.
Vivy turut menjelaskan, sebagai individu yang bertanggungjawab menguruskan syarikat, beliau mengakui kecewa dan kesal dengan diri sendiri sebaik berita kerugian tersebut heboh di media sosial.
Katanya, dia dan suami cuba untuk mengembangkan perniagaan, membangunkan pasukan terbaik dan melabur dalam bidang teknologi demi syarikat, namun tidak dinafikan ia terlalu agresif serta tiada perancangan teliti.
"Sebenarnya kami cuba mengembangkan perniagaan, tapi tidak membuat perancangan yang cukup. Kami melabur dalam keperluan teknologi, mengembangkan pasukan terlalu cepat dan menambah banyak kedai.
"Kami buat silap dan jangka akan berlaku pertumbuhan berterusan, namun apabila pandemik Covid-19 melanda, kami tersilap. Kami cuba kurangkan kos termasuk tutup platform e-dagang, tetapi keadaan jadi lebih buruk.
"Terlalu banyak perkara yang kami harapkan sebelum merancang untuk mengembangkan perniagaan," ujarnya lagi.