GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United mengumumkan Ruben Amorim sebagai pengendali baharu The Red Devils menggantikan Erik ten Hag yang dipecat baru-baru ini.
Pengendali kelahiran Portugal berusia 39 tahun itu, yang memenangi dua gelaran Liga Primeira bersama Sporting Lisbon, menandatangani perjanjian sehingga 2027 akan menyertai kelab itu pada 11 November ini.
"Sukacitanya, Manchester United mengumumkan pelantikan Ruben Amorim sebagai ketua jurulatih pasukan utama The Red Devils, tertakluk kepada keperluan visa kerja.
"Dia akan menyertai Manchester United sehingga Jun 2027 dengan pilihan kelab selama setahun tambahan, sebaik sahaja dia memenuhi tanggungjawabnya kepada kelabnya sekarang,” kata kelab tersebut.
United menyifatkan Amorim sebagai antara pengendali muda yang paling berjaya dan mendapat penilaian tinggi dalam bola sepak Eropah.
"Kecemerlangan sebagai pemain dan jurulatih termasuk memenangi Liga Primeira sebanyak dua kali bersama Sporting Lisbon, gelaran pertama kelab dalam 19 tahun,” kata kelab itu.
Sementara itu, Ruud van Nistelrooy akan terus mengendalikan pasukan sehingga Amorim tiba di Old Trafford semasa rehat antarabangsa pada November.
Sebagai rekod, perlawanan pertama Amorim sebagai pengendali menentang Ipswich Town pada 25 November.
Pengurusan United memecat Ten Hag selepas kekalahan 1-2 kepada West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan Red Devils merudum ke tangga ke-14 liga dengan hanya tiga kemenangan daripada sembilan perlawanan.
Sebelum kemenangan 5-2 ke atas Leicester dalam pusingan keempat Piala Liga pada Khamis, United hanya memenangi satu daripada lapan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Ten Hag memenangi Piala Liga dan Piala FA sepanjang tempohnya di Old Trafford tetapi kelab itu tidak memenangi Liga Perdana Inggeris sejak 2013, pada musim terakhir Alex Ferguson sebagai pengurus.
Ferguson memenangi kejuaraan Liga Perdana sebanyak 13 kali, namun sejak peletakan jawatannya lima pengurus tetap datang dan pergi tanpa menambah 20 gelaran liga utama kelab itu.
Sementara itu, Van Nistelrooy bermotivasi untuk membantu mengubah musim United mahu kekal di kelab tersebut ketika dia menyediakan pemain-pemain untuk perlawanan berprofil tinggi menentang Chelsea di Stadium Old Trafford pada Isnin.
Ditanya sama ada jangkaannya akan kekal sebagai pembantu di bawah pengurus baharu United, bekas pengurus PSV Eindhoven itu berkata:"Kita akan lihat tetapi berkait dengan kontrak, dan keinginan saya untuk membantu kelab pergi lebih ke depan.
"Jadi saya boleh bercakap dengan anda tentang sisi saya dalam cerita ini, dan selepas itu, apabila situasi baharu berlaku, apabila pengurus baharu menandatangani dan perbualan berlaku, kita perlu melihat bagaimana keadaan berkembang selepas itu.”