PENGENDALI Liverpool, Arne Slot mengharapkan satu persembahan berbeza apabila anak buahnya melayan kunjungan Brighton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield pada Sabtu.
Malah jelasnya, kemenangan 3-2 ke atas Brighton dalam aksi Pusingan 16 Piala Liga di Stadium Amex, Khamis lalu juga tidak akan menggambarkan kualiti sama setiap bahagian pasukan apabila kedua-dua pasukan sekali lagi berentap.
Jelas Slot, dalam bola sepak sudah menjadi satu kelaziman menentang pasukan sama selepas beberapa hari.
"Ini bukan sesuatu yang pelik. Tambahan pula apabila kedua-dua pasukan tidak menurunkan permulaan yang sama seperti sebelum ini. Bagi kedua-dua pengendali, perlawanan ini sesuatu perkara yang positif kerana anda lebih tahu tentang lawan.
"Biarpun sekiranya pemain-pemain sama dimainkan dalam permainan ini, namun taktikalnya pasti berlainan.
"Gaya permainan juga mungkin sama, tetapi kualiti pemain berbeza 10 kali ganda. Itu yang akan mengubah permainan pada Sabtu, berbanding dengan yang berlaku pada Khamis,” katanya.
Anak buat Slot selepas berdepan The Seagulls asuhan Fabian Hurzeler akan menyambut kedatangan gergasi Bundesliga Jerman, Bayer Levekusen dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Anfield pada Rabu diikuti Aston Villa untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Ahad.
Sebagai rekod, Liverpool berada di tempat kedua dengan 22 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan, satu mata di belakang pendahulu Manchester City dan enam mata di atas Brighton di tempat keenam.