'Rakyat sedang memerhati kita' - Wan Saiful

Iklan
Wan Saiful

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengingatkan perwakilan supaya bijak memilih pemimpin untuk mengemudi parti berkenaan semasa persidangan bahagian yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Beliau berkata, ini kerana rakyat sedang memerhati segala gerak-geri dan menginginkan pemimpin parti yang mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Iklan
Iklan

Dalam masa sama, ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mengucapkan selamat bersidang buat semua perwakilan Bersatu di seluruh negara.

"Perwakilan Bersatu pasti akan memilih dengan bijak supaya kepimpinan parti ini boleh dilihat sebagai saf yang meyakinkan rakyat dan boleh memimpin negara.

Iklan

"Saya juga menawarkan diri untuk meneruskan khidmat sebagai ahli MPT (calon 08). Saya berharap dapat terus menyumbang kepakaran bagi membantu Bersatu memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan pilihan raya negeri (PRN).

"Rakyat sedang memerhati kita. Mereka mahu kita memimpin dan apa yang perlu dilakukan adalah memilih pemimpin parti diyakini rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Iklan

Persidangan bahagian-bahagian Bersatu yang diadakan serentak di seluruh negara bermesyuarat bagi memilih tiga naib presiden dan 20 MPT.

Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan kekal sebagai Presiden Bersatu manakala Setiausaha Agung parti iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisi jawatan Timbalan Presiden, selepas masing-masing menang tanpa bertanding dalam pemilihan bagi penggal 2024-2027.

Timbalan Ketua Wanita Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin juga dinamakan ketua baharu sayap itu selepas dilaporkan menang tanpa bertanding susulan penyandangnya, Datuk Seri Rina Harun memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham diumumkan sebagai Ketua Armada Bersatu dengan 1,888 undi mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir yang meraih 1,718 undi.