Hans Wijayasuriya letak jawatan, bakal jadi ketua penasihat kepada Presiden Sri Lanka.

Iklan
Dr Hans Wijayasuriya

[DIKEMAS KINI] KETUA Pegawai Eksekutif Perniagaan Telekomunikasi dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Axiata Group Bhd Dr Hans Wijayasuriya akan melepaskan jawatannya di syarikat itu pada 15 Januari 2025 setelah menerima jemputan untuk menjadi ketua penasihat kepada Presiden Sri Lanka.

Wijayasuria akan memikul tanggungjawab baharu itu dalam bidang ekonomi digital.

Iklan
Iklan

Kumpulan telekomunikasi itu berkata, sepanjang tempoh sementara ini termasuk dalam pelaksanaan program peralihan sementara, tanggungjawab Wijayasuriya kepada Axiata akan diteruskan dan beliau bersedia untuk melalui inisiatif pembaharuan digital kerajaan Sri Lanka berdasarkan nasihat dan bukan secara eksekutif.

"Axiata akan mengumumkan sebarang perubahan selanjutnya pada masa yang sesuai,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Iklan

Kumpulan itu berkata, Wijayasuriya mengetuai operasi telekomunikasi serantau Axiata yang merangkumi pasaran Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Sri Lanka dan Kemboja.

Beliau juga berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Global System for Mobile Association (GSMA) iaitu badan pentadbir industri mudah alih global.

Iklan

Wijayasuriya telah diberi penghormatan dengan Anugerah Pengerusi GSMA pada tahun 2024, pengiktirafan tertinggi oleh GSMA atas sumbangan cemerlang beliau kepada industri mudah alih global.

Sementara itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, Wijayasuriya, dalam tempoh 30 tahun bersama kumpulan itu (Axiata dan pendahulunya Telekom Malaysia), telah menjadi kuasa penting dalam membentuk hala tuju strategik syarikat.

"Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam memupuk bakat yang mendalam dalam organisasi," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata, Vivek Sood berkata, kepakaran luas Wijayasuriya dalam telekomunikasi, pembaharuan teknologi dan pendigitalan akan memberikan nilai yang besar kepada Sri Lanka.

"Pelantikan Wijayasuriya mencerminkan komitmen mendalam Axiata dalam memupuk pemimpin luar biasa yang memacu perubahan, baik dalam industri kami mahupun di luar."

"Beliau telah memainkan peranan penting dalam memajukan agenda syarikat telekomunikasi (Telco) dan syarikat teknologi (TechCo) kami selain mengukuhkan portfolio dengan tujuan untuk menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham kami,” katanya. - Bernama