KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia menjalankan siasatan sekiranya terdapat laporan dibuat berkaitan kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi yang didakwa menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan berkaitan kes berkenaan.
"PDRM sedia menjalankan siasatan sekiranya terdapat laporan dibuat.
"Kita masih menunggu laporan daripada pengadu atau Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berhubung kejadian berkenaan," katanya pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalankan siasatan kes buli dan dera itu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika dihubungi memaklumkan siasatan terperinci sedang dilaksanakan.
Pada Rabu, ATM dalam kenyataan memaklumkan kejadian membabitkan pelajar kadet yang disyaki dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.
ATM turut menyatakan tindakan disiplin yang keras mahu pun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit, jika terbukti bersalah.
Pada masa sama, ATM menggesa masyarakat memberi ruang kepada pihaknya untuk menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.
Masyarakat juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan tersebut.