PERASAN atau tidak, kebanyakan pengajar di institusi latihan memandu terdiri daripada lelaki.
Walaupun ada juga tenaga pengajar terdiri daripada kaum Hawa, namun bilangannya agak sedikit.
Bagi pelajar wanita yang ingin belajar memandu, mahu atau tidak, mereka terpaksa juga belajar dengan tenaga pengajar lelaki.
Dalam perihal itu, apakah pelajar dan tenaga pengajar berlainan jantina yang berdua-duaan ketika sesi latihan memandu dianggap sebagai berkhalwat?
Menelusuri maksud khalwat, ia membawa pengertian sunyinya sebuah tempat atau sesuatu dari sudut bahasa.
Ini bermakna, tiada seorang atau sesuatu pun di dalam atau tempat berkenaan.
Justeru, apabila para fuqaha membincangkan isu khalwat, mereka merujuk kepada perbuatan berdua-duaan seorang lelaki dan perempuan yang bukan mahram di sesuatu tempat.
Berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahram merupakan suatu perbuatan yang ditegah dalam agama.
Sabda Rasulullah SAW: "Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya." (Riwayat Muslim)
Menjawab kemusykilan persoalan yang dilontarkan, ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA yang mana beliau berkata:
"Seorang perempuan dari kalangan Ansar telah datang kepada Nabi Muhammad SAW, lalu baginda berkhalwat dengannya (dari sudut baginda mengajak perempuan tersebut ke tepi). Lalu baginda bersabda: ‘’Demi ALLAH sesungguhnya kamu (golongan Ansar) merupakan manusia yang paling aku sayang.’’ (Riwayat al-Bukhari)
Dalam kitab Sahih al-Bukhari, Imam al-Bukhari meletakkan hadis berkenaan di bawah bab 'keharusan seorang lelaki untuk berduaan dengan seorang perempuan dalam keberadaan ramai orang'.
Sementara itu, Imam Ibn Battal pula menyebut: ‘’Tidak mengapa bagi seorang yang ‘alim dan juga seorang lelaki yang dikenali dengan kesolehan untuk berduaan dengan seorang perempuan di suatu sudut berasingan di sisi orang ramai, lalu perempuan tersebut dapat menceritakan permasalahan-permasalahan yang dihadapinya serta bertanyakan perkara-perkara peribadi yang dihadapinya dalam isu agama." (Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (7/360).
Jika diteliti semula dari sudut keadaan dan situasi hadis berkenaan, Rasulullah SAW pada asalnya bersama dengan beberapa orang iaitu baginda tidak bersendirian.
Lalu, datang seorang perempuan dalam kalangan Ansar kepada baginda SAW.
Ini bermakna, walaupun baginda pergi ke suatu sudut kawasan dan berduaan bersama perempuan tersebut, ia dibenarkan kerana masih dapat dilihat oleh orang ramai ketika itu walaupun tidak didengari butir perbualan antara baginda dan wanita tersebut.
Sebagai kesimpulannya, berdasarkan nas dan hujah di atas, hukum berduaan antara pengajar lelaki dan pelajar perempuan atau sebaliknya di dalam kereta semasa kelas latihan memandu adalah dibolehkan.
Ini kerana di dalam kawasan latihan memandu tersebut terdapat orang ramai yang boleh melihat ke arah mereka berdua.
Ia juga termasuk situasi seandainya kita menghadapi kesulitan untuk memilih guru yang sama jantina sebagai tenaga pengajar dalam keadaan kekurangan tenaga pengajar seumpamanya.
Meskipun begitu, batasan pergaulan semasa dalam kenderaan perlu dijaga dan dipelihara.
Ia termasuklah tidak dibenarkan bersentuhan tanpa sebab dalam keadaan tersebut.
Apa pun, sebagai seorang Mukmin, hendaklah sedar dan merasai bahawa ALLAH SWT MAHA MENGETAHUI dan MAHA MELIHAT ke atas setiap perbuatan yang kita lakukan.
Andai kata, pihak berkuasa memberikan ruang untuk dibenarkan pelajar perempuan untuk membawa rakan atau mahram ketika proses latihan memandu, ia sebenarnya lebih baik dan menepati tuntutan syarak.
(Sumber: Al-Kafi #1581: Berduaan dengan Instructor Ketika Latihan Memandu Adakah Dianggap Khalwat? Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)