RAMAI keluarga Cina yang berkemampuan memilih untuk menghantar anak mereka belajar di luar negara dan menggalakkan mereka untuk bekerja atau menetap di sana.
Negara-negara ini sering menawarkan mata wang lebih kukuh dan kualiti hidup lebih tinggi.
Pendek kata, pandangan masyarakat Cina adalah di luar negara, sesiapa yang berusaha keras berpeluang meningkat dalam hierarki sosial, jurang antara kaya dan miskin lebih kecil, dan sistem pentadbiran lebih adil.
Namun begitu, apabila Malaysia cuba melaksanakan dasar-dasar progresif seperti di negara Barat, masyarakat Cina cenderung untuk mengadu. Ini adalah dilema yang dihadapi masyarakat Cina.
Mereka ingin Malaysia menjadi lebih maju seperti negara Barat, tetapi agak keberatan menerima hakikat bahawa untuk menjadi negara yang progresif, kadar cukai akan meningkat, undang-undang buruh akan diperketatkan dan syarat untuk menjalankan perniagaan akan menjadi lebih sukar.
Dengan pengumuman belanjawan lalu, ramai ahli perniagaan Cina melahirkan rasa tidak puas hati.
Tiga dasar paling memberi kesan kepada mereka ialah peningkatan gaji minimum, pelaksanaan levi berperingkat dan peluasan perlindungan KWSP kepada pekerja asing.
Persoalan yang ingin saya kemukakan adalah – jika seorang pekerja Cina dari Malaysia yang bekerja di Singapura mendapat sumbangan CPF (bersamaan dengan KWSP di Singapura untuk penduduk tetap), mengapa pekerja Bangladesh atau Nepal di Malaysia tidak layak dilindungi KWSP? Atau jika seorang anak Cina Malaysia menerima gaji minimum $23.23 sejam di Sydney, adakah tidak wajar bagi pemilik perniagaan di Malaysia menaikkan gaji pekerja tempatan sebanyak RM200 sebulan, terutamanya pekerjaan yang tidak diminati rakyat tempatan?
Ahli perniagaan mungkin perlu menimbang sama ada lebih baik menerima keuntungan berkurang atau menghadapi kekurangan pekerja.
Memang benar, dasar-dasar ini menambah cabaran untuk industri tempatan. Namun, undang-undang buruh yang serupa, malah lebih ketat sudah menjadi standard di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia, di mana ramai rakyat Malaysia telah berhijrah dan berjaya menyesuaikan diri.
Saya menyambut baik langkah Menteri Sumber Manusia, Sim Chee Keong dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim melindungi kebajikan pekerja asing, serta pengenalan sistem levi pelbagai peringkat.
Sistem ini menentukan pengambilan pekerja asing berdasarkan nisbah pekerja tempatan sesebuah syarikat.
Dengan sistem yang mencontohi model Singapura ini, keperluan berurusan secara langsung antara majikan dan pegawai kerajaan dikurangkan, sekali gus mengurangkan risiko gejala rasuah.
Peningkatan gaji minimum Malaysia kepada RM1,700 pada kadar tiga peratus daripada KDNK adalah setanding dengan standard negara-negara maju.
Dasar seterusnya, Chee Keong boleh memperkenalkan gaji minimum berbeza mengikut negeri dan kumpulan umur.
Contohnya, gaji minimum di Kelantan boleh ditetapkan lima peratus lebih rendah daripada di Kuala Lumpur dan Selangor untuk mencerminkan perbezaan ekonomi negeri-negeri tersebut. Bagi pekerja di bawah umur 21 tahun, kadar gaji minimum boleh disamaratakan di seluruh negara.
Di UK, National Living Wage ditetapkan pada £11.44 sejam bagi mereka yang berumur lebih 21 tahun, manakala pekerja muda menerima kadar lebih rendah.
Oleh kerana kos sara hidup lebih tinggi di London, kadar Gaji Hidup London akan dinaikkan kepada £13.85 sejam menjelang Mei 2025, berbanding £12.60 di tempat lain.
Di Australia, selain gaji minimum untuk pekerja bawah 21 tahun, terdapat juga gaji minimum berdasarkan industri dan program perantisan.
Dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan untuk mengurangkan ketidaksamaan ekuiti sosial.
Jika kita mengagumi negara-negara seperti UK dan Australia kerana kualiti hidup mereka, kita juga perlu menerima dasar-dasar yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan di tanah air kita sendiri.
Meskipun dasar belanjawan ini mungkin tidak menguntungkan golongan maha kaya, masyarakat Cina Malaysia perlu menerimanya kerana bagi mereka, tiada pilihan lain selain daripada Kerajaan Madani ini.
* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat