BINTANG Liverpool, Cody Gakpo menamakan rakan penyerang The Reds, Darwin Nunez sebagai pemain terpantas di Anfield pada masa ini.
Gakpo dan Nunez membentuk sebahagian daripada gandingan barisan depan The Reds Arne Slot bersama Mohamed Salah, Diogo Jota dan Luis Diaz, yang sentiasa bersaing untuk kesebelasan utama.
Serangan balas pantas dibentuk semasa era kepimpinan bekas pengendali, Jurgen Klopp dimantapkan di bawah Slot, malah tiada dalam kalangan barisan depan ini yang sukar untuk mengikuti permainan pengurus dari Belanda berkenaan.
Diaz, yang sering menyaingi Gakpo untuk mendapatkan tempat di sebelah kiri, menggunakan kelebihan fizikal dengan baik semasa Liverpool seri menentang Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates hujung minggu lalu.
Malah penyerang sebelah kanan Salah juga turut melakukan perkara sama apabila melengkapkan keputusan positif dengan menjaringkan gol penyamaan pada 10 minit terakhir.
Biarpun begitu dua watak penting Liverpool musim ini tidak berada dalam penarafan bekas tonggak kelab gergasi Eredivisie Belanda, PSV Eindhoven apabila berkaitan dengan rentak permainan.
Malah apabila ditanya pemain Liverpool yang boleh menandingi kepantasannya, pemain berusia 25 tahun kelahiran Eindhoven, Belanda itu memilih Nunez, bintang Uruguay.
"Darwin Nunez, dia antara yang terpantas jika bukan yang terpantas dalam pasukan,” kata Gakpo.
Apabila ditanya mengenai rentak rakan sepasukan Andy Robertson, seorang lagi pemain yang memiliki kepantasan, dia berkata;"Dia pantas, tetapi bukan yang terpantas.”
Dia kemudian diminta menamakan pemain lawan terpantas yang pernah disaingi, Gakpo yang memulakan karier bersama FC Eindhoven sebelum menyertai PSV Eindhoven memberi penghormatan itu kepada pertahanan kental Manchester City, Kyle Walker.
Liverpool yang masih segar dengan kemenangan 3-2 ke atas Brighton dalam pusingan 16 Piala Liga di Stadium Amex akan berdepan sekali The Seagulls kendalian Fabian Hurzeler dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada Sabtu.