Fauziah Nawi kecewa, drama radio makin sendu

Iklan
Fauziah Nawi

DI SEBALIK kerancakan penerbitan telefilem, drama yang menghiasi skrin televisyen mahupun filem di layar panggung dengan berbagai genre termasuk kemasyarakatan dan cinta, namun lain pula halnya dengan drama radio.

Situasinya boleh dikatakan agak ‘hambar, sendu' walhal drama radio mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana kekuatannya terletak pada nada suara yang mampu menterjemahkan jalan cerita tanpa adanya bahasa tubuh.

Iklan
Iklan

Cuma entah mengapa popularitinya tidak mampu berdiri sama tinggi dengan drama televisyen mahupun filem.

Jika hendak dikatakan tidak menggunakan bakat popular pelakon tempatan untuk menjayakan drama radio sebagai antara alasannya, pandangan dangkal itu disangkal sama sekali oleh pelakon dan aktivis teater Datuk Fauziah Nawi kerana biasanya, hanya yang berpengalaman dan berbakat sahaja terlibat dalam drama radio.

Iklan

Menurut Fauziah yang mesra disapa ‘ibu’, antara yang membintangi drama radio pada hari ini adalah pelakon popular seperti Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rosyam Nor, Khir Rahman, Vanidah Imran, Nabila Huda dan Darling Ngasri.

"Ada yang tanya, relevan lagikah drama radio yang menjadi hiburan halwa telinga bukan sahaja masyarakat Melayu tetapi pelbagai bangsa pada era 1970-an dengan kisah kemasyarakatan yang dibawa secara santai tetapi penuh dengan mesej pengajaran.

Iklan

"Saya kata ya, memang relevan dan akan terus mempertahankan warisan ini dan saya cukup marah apabila ada yang mahu melihatnya pupus dek teknologi. Ini kerana, saya kerap kali diajukan persoalan, drama radio dah tak rancak macam dulu ke, ini membuktikan drama radio masih ada peminatnya,” kata Fauziah, 71, kepada Bernama.

Mengakui agak terkilan dengan nasib hambar yang menimpa drama radio, bintang veteran yang juga berpengalaman lebih 50 tahun dalam bidang drama radio ini berkata, adalah tidak wajar menyifatkannya tidak lagi relevan dengan situasi semasa, selain mendakwa tidak menguntungkan.

Dengan situasi hari ini yang menyaksikan masyarakat lebih banyak berdampingan dengan radio, Fauziah yang juga sebelum ini seorang juruhebah radio, pengarah serta pernah dinobatkan antara 10 pelakon senior Malaysia paling laris sepanjang zaman berkata, elemen itu sebenarnya mampu membangkitkan kembali populariti drama radio.

Siaran radio RTM menerusi media sosial misalnya, dilaporkan pada awal tahun ini melakar rekod baharu apabila meraih 34 juta pendengar pada Januari lepas, peningkatan ketara berbanding 14 juta pendengar pada Disember tahun lepas.

Sementara rangkaian radio swasta MEDIA Prima Audio (MPA) iaitu Hot FM, Buletin FM, Molek FM, Fly FM dan 8 FM dilaporkan tahun lepas menerima peningkatan purata pendengar mingguan sebanyak 5.36 juta pendengar mingguan di Semenanjung Malaysia.

Menurut bintang veteran yang pernah merangkul berbagai anugerah ini, masyarakat hari ini lebih banyak meluangkan masanya dengan radio berbanding televisyen dan ke panggung filem.

Misalnya, ketika terperangkap dalam jalan raya atau pengangkutan awam, siaran radio jadi pilihan tambahan pula, ia boleh didengari di media sosial, telefon bimbit dengan aplikasinya tersendiri.

Hanya berkumandang bermusim dan biasanya ketika menjelang Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia, sempena mengingati tokoh tertentu mahupun bulan bahasa, kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini, perjuangan itu pun juga sekadar diteruskan oleh radio RTM sahaja.

Kerana itu, Fauziah yang terkenal dengan lakonan meruntun hati ramai ini mahu drama radio dirancakkan kembali sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan turut menasihati pendatang baharu industri seni untuk tidak memandang enteng nilai drama radio kerana ia sebenarnya pembuka rezeki buat mereka.

"Keberkesanan drama radio dalam menterjemahkan emosi melalui suara, membuatkan bakat kita direbut syarikat iklan. Ada iklan kami keluar di televisyen dan ada hanya suara sahaja digunakan sementara dilakonkan orang lain.

"Biarpun begitu, bayarannya tetap lumayan kerana dibayar berdasarkan berapa saat suara digunakan. Kerana itu, ada dilihat tidak aktif di televisyen seperti isteri Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa tetapi syarikat iklan masih cari kerana bakat suaranya. Sebab itu saya kata, drama radio pembuka pintu rezeki,” katanya.

Menyarankan pendatang baharu mencari dan merebut peluang untuk berlakon drama radio, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam filem Sayang Salmah pada Festival Filem Malaysia ke-12 ini berkata, platform itu mampu membentuk penghayatan dan penjiwaan lakonan mereka agar lebih berkesan.

"Saya lakukan ini bukan kerana kejar anugerah tetapi sebab suka dengan karier seni. Syukur setelah berkecimpung lebih 50 tahun dalam drama radio, akhirnya diberi pengiktirafan sebagai Pelakon Drama Radio Terbaik semasa Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024), Sabtu lepas (26 Oktober).

"Saya gembira dengan pengiktirafan ini, cuma mengharapkan pihak berkaitan seperti Kementerian Komunikasi melihat kembali keperluan merancakkan drama radio kerana ia adalah warisan berharga kita,” katanya yang memenangi anugerah tersebut menerusi drama Lima Beradik yang disiarkan oleh Terengganu FM. - Bernama