AJP Nafas sedia disiasat SPRM, akan buat rayuan kepada PM

Iklan
AJP Nafas sedia beri kerjasama kepada SPRM berhubung isu penggantungan membabitkan pertubuhan itu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Anggota Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penggantungan membabitkan pertubuhan itu.

Menurut kenyataan bersama pada Sabtu, pihaknya juga akan sentiasa memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada pihak berkuasa dalam memastikan sistem tatakelola, tadbir urus dan sistem kewangan yang telus dalam memerangi segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Iklan
Iklan

Jelas kenyataan tersebut, mengambil kira perkembangan itu dan juga demi kepentingan ahli-ahli Peladang sebagai pemegang saham Nafas, AJP Nafas akan membuat rayuan secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu terhadap pergantungan Nafas selaras dengan hak di bawah Seksyen 21 Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).

"Alasan penggantungan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang, Amir Matamin adalah menjurus kepada isu, konflik dan ketidakharmonian dalaman.

Iklan

"Tuduhan berkenaan merupakan satu alasan yang amat lemah kerana selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, beliau sepatutnya terlebih dahulu memberi teguran, nasihat dan mengadakan perundingan dan perjumpaan dengan semua pihak yang berkepentingan bagi menangani serta menyelesaikan sebarang konflik atau ketidakharmonian seperti didakwanya,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi Jemaah Pengarahnya, Datuk Zamri Yaakob bersama anggotanya iaitu Datuk Aimi Jusoh, Datuk Sham Mat Sahat, Datuk Ismail Umar, Datuk Mohd Rosll Harun, Datuk Ali Shikh Ahmad, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid, Dr Ab Razak Kasbollah, Datuk Abdul Rahman Ismail, Datuk Mohd Nazri Abdullah dan Datuk Abd Rahman Bakri.

Iklan

Ia sebagai mengulas mengenai penggantungan Nafas yang dikeluarkan Amir Matamin yang juga Pendaftar Pertubuhan Peladang pada Jumaat.

"Ahli-ahli Peladang maklum dan sedar bahawa isu konflik dan ketidakharmonian dalaman hanya berlaku setelah Menteri KPKM menggunakan kuasanya melantik seorang pemimpin parti politik sebagai Pengurus Besar Nafas berkuat kuasa Mac 2023.

Jelasnya, AJP Nafas yakin bahawa keputusan penggantungan yang dibuat Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang kali ini ada hubung kait dengan tindakan dan keputusan AJP menggantung tugas pengurus besar baharu berikutan dakwaan salah laku yang dilakukannya.

Sebelum ini, media melaporkan Perlembagaan Nafas digantung berkuat kuasa pada Jumaat bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin berkata, selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, beliau mengeluarkan arahan itu di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsi Nafas.