Kerap ke klinik, ibu hamil dibuang kerja

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Gara-gara hadir ke klinik beberapa kali untuk mendapatkan rawatan, seorang wanita yang sarat hamil 37 minggu dipecat oleh majikannya.

Perkara itu didedahkan oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi Profesor, Dr Imelda Balchin menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya pada Khamis.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pesakitnya itu merupakan ibu hamil berisiko tinggi kerana mempunyai sejarah kematian tiga anak akibat kelahiran pramatang.

"Untuk kehamilan keempat, dia datang cari saya minta bantuan,” jelas beliau menerusi hantarannya itu.

Iklan

Menurutnya, rawatan shirodkar cerclage dilakukan ke atas pesakitnya dengan syarat mesti datang klinik untuk penjagaan kesihatan bagi memastikan kandungan sampai ke tahap matang.

"Mula-mula pesakit tidak datang ke klinik kerana perlu bekerja tetapi saya bagi ‘ceramah’, mesti datang juga.

Iklan

"Saya tidak mahu melihat kesihatan pesakit terabai setelah kita penat berusaha melakukan shirodkar cerclage ini. Selepas itu pesakit datang ke klinik, tetapi akibatnya ialah dia kena pecat," jelasnya.

Walaupun rawatan tersebut berjaya namun sebagai doktor yang merawat pesakit berkaitan, Dr Imelda berasa sangat bersalah kerana pesakitnya dipecat.

"Kenapalah ada bos yang tidak berperikemanusiaan? Ini seorang ibu mengandung yang pernah kehilangan anak tiga kali. Sampai hati pecat pekerja yang mengandung,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Dr Imelda meminta pendapat warga maya untuk mendapatkan peguam bela bagi pesakitnya.

"Kita mesti bersama-sama memperjuangkan hak orang yang dianiayai. Saya mahu galakkan pesakit memperjuangkan hak dia,” katanya.

Sementara itu, menerusi ruangan komen, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan, majikan tidak berhak mengambil tindakan memecat pekerja hamil sekiranya syarat mencukupi.

"Minta pekerja tersebut segera lapor kepada Jabatan Tenaga Kerja. Pekerja juga boleh lapor ke Jabatan Perhubungan Perusahaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipecat sekiranya ingin dipulihkan semula dalam perkhidmatan,” katanya.