KUALA LUMPUR - Khidmat gadis warga asing dipercayai pelacur ditawarkan secara dalam talian dengan harga RM250 dibongkar menerusi tangkapan tiga individu di ibu kota pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kesemua suspek ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan serta dua wanita warga asing dalam operasi Op Noda #KLSTRIKEFORCE itu.
"Suspek lelaki warga tempatan berkenaan yang bertindak sebagai 'transporter' ditahan ketika membawa dua gadis warga asing dipercayai pelacur.
"Kesemua suspek itu diberkas dalam sebuah kereta di hadapan sebuah hotel di ibu kota menerusi operasi dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, siasatan mendapati sindiket beroperasi menerusi tempahan dilakukan dalam laman web sebelum dihantar 'transporter' ke lokasi yang diminta pelanggan.
"Suspek lelaki tempatan dipercayai menerima bayaran gaji RM180 sehari serta ditugaskan untuk menghantar pelacur ke lokasi sekitar ibu kota.
"Dua suspek wanita warga asing dipercayai menerima gaji sebanyak RM120 bagi satu pelanggan selain didapati menjalankan aktiviti berkenaan sejak sebulan lalu," katanya.
Menurutnya, kesemua suspek dibawa ke IPD Brickfields bagi proses dokumentasi.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 373 (1) Kanun Keseksaan," katanya.