KUALA LUMPUR - Individu yang terlibat dalam kes mencederakan seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi dirakam keterangan pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tindakan itu dijalankan untuk siasatan lanjut berkaitan kes terbabit.
"Pelajar senior (pelaku) sudah diambil rakaman percakapan pagi ini, cuma saksi rakan sebilik akan diambil pada sebelah petang," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, polis mengesahkan mangsa ditekap seterika pada bahagian dada ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan, 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa kira-kira jam 8.23 malam pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalankan siasatan kes buli dan dera itu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika dihubungi memaklumkan siasatan terperinci sedang dilaksanakan.
Pada Rabu, ATM dalam kenyataan memaklumkan kejadian membabitkan pelajar kadet yang disyaki dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.
ATM turut menyatakan tindakan disiplin yang keras mahu pun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit, jika terbukti bersalah.
Pada masa sama, ATM menggesa masyarakat memberi ruang kepada pihaknya untuk menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.
Masyarakat juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan tersebut.