Selangor tidak sorok laporan tragedi tanah runtuh Batang Kali - Amirudin

Iklan
Amirudin ketika ditemui pemberita di Program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor di Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma, pada Sabtu.

KAJANG - Kerajaan negeri tidak sorok atau selindung sebarang maklumat berhubung insiden tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang meragut 31 nyawa pada 16 Disember 2022.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan berhubung kejadian bukan dibuat kerajaan negeri, sebaliknya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan badan autoriti lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, laporan itu menyebut kejadian adalah disebabkan bencana alam yang di luar kawalan kerajaan negeri.

"Jika mangsa rasa ada kes, mereka bebas mengambil tindakan (perundangan), tetapi kerajaan negeri berpandukan kepada laporan yang telah dikemukakan pun kepada mereka untuk disemak.

Iklan

"Laporan menyebut kejadian disebabkan tindakan semula jadi yang di luar kawalan kerajaan negeri," katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri telah meminta bahagian perundangan untuk merujuk dan melihat isu tersebut secara terperinci.

Iklan

"Hal tersebut telah diteliti sejak sebulan selepas kejadian, sebab itu laporan insiden dikemukakan kepada mangsa dan waris.

"Tiada perkara yang disorokkan, no hide dan laporan itu bukan kerajaan negeri yang buat tetapi oleh JKR dan badan autoriti berdasarkan fakta," katanya.

Amirudin (tengah) menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada penerima pada Program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor di Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor di Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma, pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 23 mangsa dan ahli keluarga individu yang maut dalam insiden berkenaan menyaman kerajaan Selangor dan enam yang lain kerana didakwa gagal menunaikan tanggungjawab serta kecuaian.

Pihak lain dinamakan ialah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor selain BL Agro Sdn Bhd, Malaysia Botanical Gardens Resort Sdn Bhd dan Infrasel Sdn Bhd.

Mereka menuntut ganti rugi am dan teruk serta kerugian tidak ketara yang tidak terhad kepada kesakitan dan penderitaan, tekanan emosi serta mental termasuk ganti rugi khas berjumlah lebih RM1 juta.

Ditanya sama ada sudah menerima surat saman itu, Amirudin berkata, pihaknya perlu membuat semakan terlebih dahulu dan prosesnya mungkin mengambil masa kerana masih di peringkat awal melibatkan pihak mahkamah, perbincangan dengan peguam dan lain-lain.