SHAH ALAM - Seorang penjawat awam ditahan pada Jumaat disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000 berkaitan perolehan perkhidmatan dikeluarkan sebuah jabatan penyiaran negara.
Suspek berumur 40-an itu ditahan dipercayai terlibat dalam rasuah membantu melantik sebuah perniagaan mendapatkan beberapa perolehan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sebuah jabatan penyiaran negara.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan memaklumkan, suspek ditahan kira-kira jam 3 petang ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
"Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 dan telah menerima rasuah bernilai kira-kira RM18,000 melalui kemasukan wang ke akaun bank miliknya.
"Siasatan awal mendapati suspek menerima rasuah sebagai balasan mendapatkan perolehan perkhidmatan seperti sewaan lori, percetakan bahan promosi, sewaan LED, penyediaan makan dan minum melibatkan penganjuran program pada tahun 2023,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman.
"Majistret Ameera Mastura Khamis kemudiannya mengeluarkan perintah reman selama tiga hari bermula 2 hingga 4 November terhadap suspek," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.