Seni kaligrafi angkat keunikan budaya, erat hubungan Malaysia-China

Iklan
Karnival Kaligrafi Dunia 2024 dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff ( sepuluh dari kiri), turut serta Presiden Persatuan Kaligrafi Persekutuan Malaysia, Ng Swee Keng (sembilan dari kanan) di Perbananan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

KUALA LUMPUR - Semua pihak disaran bersikap terbuka dan bekerjasama dalam mempromosikan seni kaligrafi untuk menarik penglibatan lebih ramai masyarakat pelbagai latar belakang demi mengangkat keunikan Malaysia di mata dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, dalam masyarakat berbilang budaya Malaysia yang penuh warna-warni, kaligrafi telah diraikan daripada generasi ke generasi dan menjadi landskap budaya Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melalui seni tersebut, individu daripada latar belakang yang berbeza bersatu, memupuk rasa hormat dan saling memahami satu sama lain.

Orang ramai hadir ke Karnival Kaligrafi Dunia 2024 menyaksikan pameran di Perbananan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

"Sungguh menginspirasikan untuk melihat bagaimana kaligrafi telah menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai komuniti budaya.

Iklan

"Saya yakin sepenuhnya bahawa apabila lebih ramai individu terus menghargai dan melibatkan diri dalam seni kaligrafi, seni ini akan berkembang maju di Malaysia, mencapai tahap yang lebih tinggi.

"Marilah kita semua bekerjasama dengan minda terbuka untuk mempromosikan kesinambungan dan inovasi dalam kaligrafi, membolehkan khazanah budaya ini bersinar di dunia hari ini dan menambah keindahan dalam kepelbagaian budaya Malaysia," katanya sempena Majlis Perasmian Karnival Kaligrafi Dunia Kuala Lumpur 2024, di sini pada Sabtu.

Iklan
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berucap pada Karnival Kaligrafi Dunia 2024 di Perbananan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Karnival Kaligrafi Dunia Kuala Lumpur 2024 bertempat di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Kaligrafi Malaysia dengan kerjasama MOTAC.

Orang ramai hadir ke Karnival Kaligrafi Dunia 2024 menyaksikan pameran di Perbananan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Lebih 500 tulisan kaligrafi berusia 40 hingga 100 tahun daripada 48 buah negara dipamerkan bermula 1 hingga 10 November ini.

Antara lain, penganjuran tersebut membantu mempopularkan semula seni kaligrafi, dalam pada masa yang sama memulihara seni kaligrafi ini daripada terus hilang ditelan zaman.

Orang ramai hadir ke Karnival Kaligrafi Dunia 2024 menyaksikan pameran di Perbananan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Mengulas lanjut, King Sing berkata, penganjuran karnival itu pada tahun ini memberi makna lebih istimewa bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

"Setengah abad pertukaran budaya antara kedua-dua negara kita telah mengukuhkan pemahaman bersama, dengan kaligrafi memainkan peranan penting sebagai ekspresi budaya yang dikongsi.

"Seni ini bukan sahaja menjadi bukti hubungan yang semakin erat tetapi juga membuka peluang untuk kerjasama budaya yang lebih erat," katanya.

Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing berucap pada Karnival Kaligrafi Dunia 2024 di Perbananan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Dalam pada itu, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing yakin karnival tersebut akan meningkatkan pemahaman tentang seni penulisan karakter Cina, mempromosikan pertukaran dan pembelajaran bersama, serta memperkukuh persahabatan dan hubungan antara masyarakat dari latar budaya yang berbeza.

"China sedia bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk meningkatkan kepercayaan bersama, mendalami kerjasama pelbagai aspek dan menambah pertukaran antara rakyat.

"Ia akan memberikan dorongan baharu kepada perkembangan hubungan China-Malaysia, memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, serta mengekalkan kestabilan dan kemakmuran rantau ini," katanya.

Presiden Persatuan Kaligrafi Persekutuan Malaysia, Ng Swee Keng berucap pada Karnival Kaligrafi Dunia 2024 di Perbananan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Kaligrafi Malaysia Ng Swee Kheng berkata, setelah 39 tahun mempromosikan seni kaligrafi di peringkat domestik dan antarabangsa, usaha tersebut akhirnya mendapat sokongan dan pengiktirafan daripada organisasi kaligrafi nasional dan antarabangsa.

"Sepanjang Karnival ini, kami juga akan mengadakan Persidangan Pendidikan Kaligrafi Malaysia, di mana pendidik tempatan dan antarabangsa boleh membincangkan cabaran dan prospek pendidikan kaligrafi di Malaysia.

"Kami berhasrat menawarkan pengalaman luar biasa kepada peminat kaligrafi di seluruh dunia di Kuala Lumpur untuk belajar kaligrafi, meneroka alat tradisional, serta mendalami kepelbagaian budaya masyarakat berbilang etnik Malaysia,"katanya.