KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melalui Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands telah menanam hampir 9,000 pokok hutan pelbagai spesies dalam kawasan hutan simpan yang diceroboh di daerah itu dalam tempoh 10 bulan.
Pegawai Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi berkata, penanaman pokok itu dilakukan setiap kali selesai operasi tebas melibatkan kawasan yang diteroka secara haram.
Menurutnya, PHD Cameron Highlands mengadakan program restorasi secara berterusan di daerah itu terutama kawasan diceroboh untuk dijadikan kebun sayur secara haram.
"Selepas operasi musnah dilakukan,kami akan hijaukan semula kawasan terbabit melalui aktiviti menanam pokok hutan yang sesuai dengan kerjasama Pejabat Silvikutur Negeri Zon Pahang Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Kempen Penghijauan Malaysia pemulihan semula kawasan teroka Hutan Simpan Sungai Ichat dan Hutan Simpan Batu Gangan, Cameron Highlands seperti dilaporkan Pahang Media pada Sabtu.
Berdasarkan laporan portal itu, Arifhadi Johari turut berkata, program penanaman semula kawasan ceroboh antara langkah bagi mengembalikan keseimbangan alam semula jadi dalam memastikan kesinambungan sumber berharga di daerah itu.
"Kira-kira 2,300 pokok hutan telah ditanam dalam aktiviti sama bulan lalu selepas operasi pemusnahan bersepadu dilakukan membabitkan Hutan Simpan Mentigi dan Hutan Simpan Bertam.
"Terbaharu aktiviti menanam 2,000 pokok hutan membabitkan spesies Meranti Bukit, Meranti Tembaga, Merbau dan Araucaria dilakukan di kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat dan Hutan Simpan Batu Gangan seluas 2.85 hektar, kelmarin," katanya.
Beliau berkata, tindakan pemantauan dan tinjauan akan dilakukan bagi memastikan semua pokok ditanam hidup dan menanam semua bagi menggantikan pokok yang mati.
Jelasnya, tindakan pemusnahan tanaman perlu dilakukan kerana menceroboh kawasan hutan simpan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984.
"Dalam operasi pemusnahan bersepadu bulan lalu, kawasan kebun sayur seluas 16.98 hektar yang diusahakan secara haram dimusnahkan dalam tempoh lima hari.
"Operasi membabitkan kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat seluas 0.9.hektar; Hutan Simpan Batu Gangan (1.22 hektar); Hutan Simpan Mentigi (5.7 hektar); dan Hutan Simpan Bertam (9.16 hektar).
"Turut dimusnahkan 20 binaan yang terdapat dalam empat hutan simpan tersebut termasuk rumah kongsi, pondok, stor simpanan baja dan rumah plastik,” katanya.