ALOR GAJAH - Sebanyak 79 senjata tajam yang didakwa 'berpenunggu' seperti keris, pedang, parang dan tombak dirampas dalam serbuan di pusat rawatan Tabib Adam di Masjid Tanah bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, serbuan pada jam 2 petang itu dilakukan sepasukan pegawai kanan dan anggota daripada Cawangan Khas serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada 24 Oktober lalu.
"Seorang lelaki berusia 22 tahun iaitu anak kepada pengamal perubatan berkenaan turut ditahan di lokasi.
"Hasil pemeriksaan di sebuah kediaman di dalam premis rawatan berkenaan telah menjumpai 79 senjata tajam yang dikategorikan sebagai senjata berjadual tanpa tujuan atau maksud yang sah," katanya pada Sabtu.
Menurutnya, penghuni iaitu anak lelaki pengamal perubatan itu memberitahu senjata berkenaan telah dibawa oleh pesakit kerana mendakwa ia mempunyai ‘penunggu’ dan pusat rawatan membantu ‘membersihkannya.
"Bagaimanapun pesakit tidak mengambil semula senjata-senjata tersebut selepas proses ‘pembersihan’ dilakukan dan disimpan di kediaman berkenaan.
"Selain itu lelaki terbabit turut mendakwa sebahagian daripada senjata berkenaan digunakan sebagai ʼpengerasʼ yang diberikan pesakit kepada bapanya untuk mendapatkan rawatan.
"Katanya individu yang memberikan rawatan adalah ayah kandungnya bernama Adam dan dia hanya salah seorang penghuni di kediaman terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Ashari berkata, ketika serbuan dilakukan pengamal perubatan terbabit tiada di situ dan kali terakhir anaknya berjumpanya pada 23 Oktober lepas.
"Pemuda itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan rawatan perubatan yang dilakukan Tabib Adam difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka pada 12 September lalu.
Menurut Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, ini kerana individu yang nama sebenarnya Adam Isa didapati menjalankan kaedah perubatan bertentangan dengan hukum syarak dan boleh memesongkan akidah.