BUTTERWORTH - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebocoran atau ketirisan subsidi yang disalurkan kerajaan kepada rakyat perlu ditangani menerusi bantuan maklumat dan data tepat yang diusahakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurutnya, sekiranya isu ketirisan tidak dapat diselesaikan, kerajaan akan terus menambah perbelanjaan untuk subsidi tetapi tidak sampai kepada kumpulan sasar.
Beliau berkata, Malaysia antara negara yang memperuntukkan subsidi paling tinggi dan kutipan cukai terendah di Asia.
Jelasnya, perkara berkenaan dimaklumkan menerusi kajian di beberapa persidangan serta pakar ekonomi antarabangsa.
"Betul, baik beritanya (kajian persidangan antarabangsa) yang menyatakan bahawa subsidi kita tertinggi tetapi tanpa dibantu dengan angka dan data yang baik, kita dapati banyak juga subsidi bocor.
"Kalau ini tidak ditangani kita akan terus menambah perbelanjaan, tetapi subsidi tak sampai kepada kumpulan sasar, jadi ini peranan yang sangat kritikal dan strategik yang harus dimainkan seterusnya oleh Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Intan 75 tahun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Dalam majlis itu, DOSM buat julung kalinya melancarkan laporan Indikator Kos Sara Hidup 2023.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, semua perancangan, unjuran pertumbuhan, pelaburan serta kajian kemiskinan dan bantuan kepada rakyat memerlukan angka dan data.
"Maknanya nadi kehidupan rakyat dan negara itu bergantung kepada tahap kecekapan kita, integriti kita untuk menghasilkan data dan angka yang meyakinkan.
"Satu hal yang tidak boleh dipertikaikan di negara ini, walaupun ramai yang mempertikaikan institusi dan agensi, tetapi DOSM telah meletakkan satu prestasi dan nilai serta integriti yang dihormati oleh semua rakyat negara ini.
"Ini amat membantu kerana apabila angka-angkanya diyakini, ia boleh membantu negara tumbuh untuk memacu pertumbuhan dan pengagihan yang lebih adil," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau menaruh keyakinan terhadap DOSM dengan keupayaan jabatan itu menyediakan laporan prestasi menunjukkan pencapaian dan statistik yang dapat dijadikan contoh bagi negara-negara ASEAN.
"Tahun depan kita akan mempengerusikan ASEAN dan kita mengharapkan DOSM dapat berikan penjelasan penerangan tentang prestasi yang kita capai dan boleh dijadikan contoh serta teladan terbaik bagi (negara-negara) ASEAN di rantau ini,” katanya.