MUAR -"Seorang keluar, 10 orang tunggu hendak mengambil alih kepimpinan," demikian ujarnya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung desas-desus tindakan keluar parti oleh pemimpin dan ahli di peringkat bahagian di negeri ini.
Muhyiddin berkata, pihaknya tidak mengetahui punca pemimpin dan ahli berkenaan bertindak keluar dari parti setakat ini.
"Pada saya sepatutnya bagi mereka yang tidak puas hati tidak mengambil langkah terburu-buru, kerana ia bukan sahaja menjejaskan nama baik parti tetapi individu berkenaan juga.
"Apa-apa pun nasihat saya, dalam apa jua isu dan masalah yg berbangkit sama ada di peringkat sayap, bahagian pihak tertinggi dibawa kepada parti kerana Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan teliti perkara itu.
"Sekiranya berkaitan dengan disiplin, ia akan dirujuk kepada lembaga disiplin. Semua sudah ada kaedahnya untuk diselesaikan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pemilihan Perwakilan Bersatu Bahagian Pagoh di Kompleks Geliga Grisek, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pagoh, Datuk Dr Sharuddin Jamal.
Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan perjuangan parti perlu diteruskan termasuk dengan menubuhkan jawatankuasa penaja yang baharu.
"Tetapi pada saya parti ini perlu terus berjuang pasal kalau hari ini ada seorang (pemimpin) buat begitu, ada lagi 10 orang tunggu hendak ambil alih kepimpinan.
"Kalau cerita nak keluar parti, sebaik mungkin jangan dilakukan, apa pun saya serah kepada mereka," katanya.
Pada Jumaat, pengamal media di negeri ini menerima jemputan melalui aplikasi WhatsApp sidang media pengumuman keluar parti beramai-ramai oleh ahli Bersatu Bahagian Tenggara.
Penghantar mesej berkenaan memperkenalkan diri sebagai Ketua Bahagian Bersatu Tenggara Hassan Rasid menyatakan pengumuman berkenaan akan dilakukan pada jam 5.30 petang pada Sabtu, iaitu tiga jam sebelum Persidangan Perwakilan Bersatu Bahagian Tenggara berlangsung pada jam 8.30 malam.