SHAH ALAM - Pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman mengakui menerima banyak lamaran untuk menjadi teman hidupnya.
Bagaimanapun, jejaka berusia 32 tahun dari Kota Bharu, Kelantan itu bertanyakan kembali sama ada wanita yang ingin menjadi isterinya bersedia hidup tanpa privasi.
Beliau juga percaya bahawa tidak ramai yang bersedia menjawab persoalan itu kerana merasakan ‘dunia’ terlalu kasar sebab ramai yang akan menilai setiap tindak tanduk mereka sebagai orang yang dikenali.
"Agak banyak lamaran, kadang-kadang aku buka inbox (mesej di media sosial). Orang tulis.. Salam KA (Khairul Aming), sudi ke berkenalan? Saya berminat nak jadi peneman hidup.
"Terima kasih banyak, saya sangat hargainya. Tapi bila aku buka (media sosial), tuan badan akaun pun ‘private’. Soalan saya adalah, adakah awak bersedia untuk ‘terdedah’ kepada umum? Itu je. Ok?
"Sebab katalah kalau kahwin dengan KA, adakah awak bersedia jadi perhatian ramai? Sebab media dan media sosial, semua akan lihat dan nilai. Aku buat live (siaran langsung) orang tanya kenapa muka KA penat, kenapa pipi makin besar? Kenapa muka hangus? Macam-macam,” katanya dalam satu video yang dikongsikan @khairulamingfans_ di TikTok.
Tambah jejaka itu lagi, bakal isterinya akan hilang privasi memandangkan beliau adalah pempengaruh yang dikenali ramai.
"Kalau kita pergi makan ke, bercuti sekali pun, tiada privasi langsung dan banyak benda yang kita tak boleh buat,” jelasnya.