BESUT - Sejumlah RM200 juta diperuntukkan kepada kementerian dan agensi yang terlibat bagi pelaksanaan 200 Kampung Angkat Madani di seluruh negara pada tahun hadapan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican berkata, peruntukan di bawah Belanjawan 2025 itu bertujuan mencari kaedah terbaik dalam memudah cara dan mempercepatkan pelaksanaan projek kecil di kawasan kampung bagi merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar.
Justeru beliau berharap ia dapat menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan.
"Seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah menyalurkan peruntukkan sebanyak RM200 juta bagi 200 kampung di mana tumpuannya adalah untuk memperkukuhkan masyarakat dan memperkasakan komuniti.
"Malah Perdana Menteri merasakan pentingnya di peringkat komuniti serta masyarakat untuk menyuarakan apa keutamaan serta keperluan yang dan ini adalah antara usaha dijalankan (Kampung Angkat)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Kampung Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan La, Jerteh di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Johan berkata, kriteria yang menjadi keutamaan terhadap pemilihan Kampung Angkat Madani tersebut adalah kampung yang mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus atau mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus bagi melengkapkan keperluan kemudahan asas
"Pihak kami juga akan tambah baik (kriteria pemilihan kampung) dengan memastikan bahawa kita juga dapat maklumat balas daripada semua pihak termasuk kerajaan serta libatkan isu-isu setempat supaya pemilihan Kampung Angkat Madani dapat dilaksanakan," ujarnya.
Sementara itu, Johan berkata, pihaknya turut menyalurkan peruntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi projek pembangunan Kampung Angkat Madani di Mukim Hulu Besut.
"Antara projek dijalankan iaitu menaik taraf jambatan dengan membina jambatan kecil serta sistem perparitan.
"Selain itu, perolehan dan keperluan Pusat Penempatan Banjir Kekal serta menaik taraf surau, padang bola, membekal lampu jalan solar di Mukim Hulu Besut dan menaik taraf sistem bekalan air bersih," jelasnya.