BESUT - Kementerian Kewangan (MOF) tetap meneruskan usaha membantu syarikat termasuk menyediakan peruntukan kepada semua syarikat yang memerlukan sokongan kewangan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican berkata, komitmen kerajaan masih teruskan menyokong syarikat yang berinovasi tinggi untuk memacu pertumbuhan negara.
"Seperti dalam Belanjawan 2025 dibentang dahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa usaha kerajaan supaya memberi pembiayaan sama ada di peringkat syarikat pemula, syarikat berpotensi tinggi untuk pertumbuhan sama ada syarikat tempatan amnya bumiputera khususnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Kampung Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan La, Jerteh di sini pada Sabtu.
Ketika ditanya mengenai kerugian besar RM43.9 juta yang dialami dalam pelaburan melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta platform fesyen e-dagang terkemuka, FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Johan bagaimanapun enggan mengulas isu tersebut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan setiap pelaburan dalam syarikat mempunyai risiko tersendiri.
"Mengenai pelaburan dalam syarikat, kita sedia maklum pelaburan berisiko tetapi berpandangan komitmen kerajaan masih untuk teruskan menyokong syarikat yang berinovasi ringgi bagi memacu pertumbuhan negara," jelasnya.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis bertarikh 28 Oktober yang disiar di laman sesawang Parlimen pada Selasa memaklumkan, Khazanah dan PNB hanya menerima RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam Fashion Valet.
Selain itu, Khazanah menjelaskan tindakan menjual kepentingan dalam FashionValet, setelah pelaburan awal sebanyak RM27 juta pada tahun 2018 adalah bagi memacu syarikat e-dagang fesyen tempatan itu.
Dalam satu kenyataan, Khazanah menjelaskan, penjualan itu bagi mengalihkan pemilikan kepada pihak baharu yang berupaya memacu syarikat ke arah trajektori pertumbuhan sejajar dengan tempoh pegangan pelaburan yang telah mencapai matlamat.
Sementara itu, PNB dalam kenyataan pada Jumaat turut menegaskan, pelaburan dibuat menggunakan dana proprietari PNB dan bukan dana amanah saham di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.
Susulan itu, usahawan fesyen terkenal, Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Anuar mengumumkan bakal melepaskan jawatan sebagai pengasas bersama dalam FashionValet susulan kerugian yang dilaporkan ditanggung Khazanah serta PNB baru-baru ini.
Vivy berkata, dia dan suami memohon maaf kepada Khazanah dan PNB berikutan kontroversi yang mengaitkan kedua-dua entiti itu selain menegaskan bakal mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan pelaburan tersebut.
Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Khazanah, untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet.
Anwar yang juga Pengerusi Khazanah berkata arahan tegas itu, sebagai memaknai pengumuman beliau sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).