Remaja patah kaki, 2 rakan cedera dihempap pokok kelapa sawit

Iklan
Anggota bomba membantu mangsa yang dihempap pokok kelapa sawit dalam kejadian di Kampung Sungai Kuning pada Sabtu.

SELAMA - Tiga remaja cedera selepas ditimpa pokok kelapa sawit yang tumbang ketika berteduh di dalam sebuah khemah dalam kejadian di Kampung Sungai Kuning di sini pada Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 1.44 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama tiba tujuh minit kemudian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian mendapati terdapat tiga mangsa lelaki berusia antara 17 hingga 20 tahun yang mengalami kecederaan.

Mangsa dihempap pokok kelapa sawit semasa berteduh di dalam sebuah khemah ketika menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Sungai Kuning pada Sabtu.

"Pokok kelapa sawit itu dipercayai tumbang ketika mereka sedang berteduh di bawah sebuah khemah kanopi disebabkan hujan ribut semasa menghadiri satu majlis perkahwinan di kawasan berkenaan.

Iklan

"Seorang mangsa mengalami kecederaan patah kedua-dua kaki manakala dua lagi mangsa hanya cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pokok kelapa sawit itu dipercayai tumbang ketika mangsa sedang berteduh di bawah sebuah khemah kanopi.

Sabarodzi berkata, ketua operasi mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja pemotongan batang pokok yang menghempap salah seorang mangsa menggunakan peralatan gergaji berantai.

Iklan

Menurutnya, setelah batang pokok berjaya dipotong, mangsa yang cedera parah telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, operasi yang disertai lapan anggota itu berjaya dikawal tamat sepenuhnya pada jam 2.48 petang.