SHAH ALAM - Tindakan usahawan fesyen terkenal, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar meletak jawatan sebagai pengasas bersama Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet) dilihat sebagai bukan langkah bertanggungjawab, sebaliknya 'lari' daripada tanggungjawab.
Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Marzuki berkata, langkah diambil kedua-dua individu terbabit sememangnya perkara yang boleh dijangka sejak awal.
Menurut beliau, terdapat dua isu yang menjadi asas perdebatan iaitu bagaimana FashionValet memperoleh dana begitu mudah daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan entiti terlibat membuat pelaburan, namun rugi puluhan juta malah bertindak seolah-olah tiada apa-apa berlaku.
"Untuk rekod, syarikat Grab rugi masa pelabur melabur dan sebelum tersenarai pun rugi juga... Tetapi, pelabur bertahan sebab ada potensi. Sekarang dah jadi Unicorn Singapura... Satu peluang yang disia-siakan.
"Bagi saya, rugi bukan isu utama kerana kalau ada potensi dan nilainya semakin tinggi, pelabur akan kekal. Kebiasaannya tentang siapa mendominasi, dana yang ada biasanya untuk geng elit politik.
"FashionValet ini daripada MyEG Services Bhd (MyEG) beri modal RM1 juta, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) RM27 juta dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) RM20 juta, masih tak cukup. Pelaburan dana awam tak ada perlindungan ke? Takkan labur 'one-to-one' macam itu saja," katanya menerusi hantaran di X pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas hantaran Vivy pada Jumaat yang akhirnya membuka mulut dan membuat permohonan maaf susulan tular berita kerugian dilaporkan ditanggung Khazanah serta PNB.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi jawapan bertulis bertarikh 28 Oktober yang disiar di laman sesawang Parlimen pada Selasa memaklumkan, Khazanah dan PNB hanya menerima RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet.
Jelasnya, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik berikutan kedua-dua entiti terbabit melabur sejumlah RM47 juta untuk pegangan minoriti masing-masing pada 2018.
Liyana yang juga aktivis politik mempersoalkan, adakah fungsi GLIC sekadar ingin menyelamatkan kaum Melayu 'T10' agar kekal kaya-raya manakala segala kerugian ditanggung rakyat marhaen?
"Mereka dah keluarkan duit awal... tak kalut di kemudian hari. Tujuh generasi pun cukup rezeki tetapi kita bersusah-payah hari-hari.
"Ironi kes ini, yang bertanyakan di Parlimen ialah seorang wakil rakyat DAP... Harapkan pembangkang buat semak dan imbang, mereka lebih kalut dengan perkataan ketimbang," ujarnya lagi.