SHAH ALAM - Kuliah yang disampaikan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Medan Ilmu Kota Bharu, Kelantan pada setiap Jumaat cukup dekat dengan hati rakyat negeri itu.
Bagi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beliau berkongsi kisah menyampaikan kuliah pada tarikh dan lokasi sama dengan ulama tersebut.
Menurutnya, Allahyarham Nik Abdul Aziz pernah menyampaikan ilmu agama 11 tahun dahulu atau tarikh tepatnya ialah 1 November 2013.
"Pada 1 November 2024, takdir ALLAH SWT telah menetapkan saya di sini atas jemputan daripada Kerajaan Negeri Kelantan setelah beberapa kali terpaksa ditangguh atas faktor kekangan jadual saya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Program kuliah di Medan Ilmu Kota Bharu, Kelantan bermula sejak 2004 dan telah berlangsung selama 20 tahun sehingga kini.
Dataran tersebut dirintis oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz, yang ketika itu merupakan Menteri Besar Kelantan.
Allahyarham Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari 2015 di usia 84 tahun.
Ujar Zulkifli, beliau terharu dengan sambutan rakyat Kelantan daripada pelbagai latar belakang agama bangsa dan umur yang hadir ke kuliah tersebut.
"Serambi Makkah ini subur dengan budaya majlis ilmu dan akan lebih indah jika dihiasi dengan budaya membaca dalam kalangan rakyatnya. Itulah intipati utama kuliah saya sepanjang lebih sejam.
"Sekalung penghargaan kepada kerajaan negeri Kelantan atas jemputan, dan terima kasih tidak terhingga kepada rakyat atas sambutan yang tidak saya jangkakan,” ujarnya.