KOTA BHARU - Kerajaan negeri akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai syarat yang akan dikenakan untuk membuka pawagam di negeri ini berikutan ada permohonan daripada beberapa syarikat.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Asri Mat Daud berkata, syarat yang sedia ada akan diperhalusi sebelum memutuskan permohonan pembukaan pawagam.
Iklan
Iklan
Jelas beliau, pimpinan kerajaan negeri sebelum ini sudah menyenaraikan syarat yang sepatutnya untuk tujuan itu.
"Ada syarat yang ketat dikenakan dan pimpinan dahulu sudah sebut pembukaan pawagam dibenarkan jika memenuhi syarat itu," katanya ketika ditemui pada Ijtimak Tarbawi 10.0 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK).
Beliau memberitahu, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu selepas mesyuarat kerajaan negeri.
Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Kelantan tidak pernah melarang pembukaan pawagam tetapi pengendali perlu mematuhi syarat yang agak ketat, termasuk mengelak penyaringan dalam persekitaran gelap untuk mengelakkan unsur-unsur yang tidak diingini.
Mereka yang berminat membuka pawagam di Kelantan perlu mematuhi waktu solat terutama Maghrib dan Isyak kerana jarak masa yang singkat.