ALOR SETAR - Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus deras dipercayai kepala air di Taman Eco Rimba, Sungai Sedim di daerah Kulim dekat sini pada Sabtu.
Mangsa, A Kasthuri, 41, dipercayai berkelah dan riadah bersama keluarga di kawasan perkelahan sempena cuti Deepavali sebelum berlaku kepala air secara tiba-tiba dan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hitec, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Azmir Hassan, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.02 petang.
"Sepasukan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhamad Fuad Harun bersama lima anggota dari BBP Kulim Hitech bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua anggota jentera khas Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang mangsa yang dikhuatiri lemas dan hanyut akibat kepala air," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, tindakan operasi dilakukan dengan melakukan pencarian permukaan sekitar kawasan sungai.