AMMAN - Jurucakap rasmi Kerajaan Jordan, Dr Mohammed Momani menekankan penolakan kerajaannya terhadap percubaan beberapa pihak yang menceroboh ruang udaranya, terutamanya dengan melancarkan dron, yang sebahagiannya memasuki ruang udara selain serpihan yang jatuh di dalam wilayahnya baru-baru ini.
Menurut Agensi Berita Jordan (Petra), dalam kenyataan pada Sabtu, memetik Momani sebagai berkata, dua insiden seumpama itu berlaku dalam beberapa hari lepas di wilayah utara Irbid dan Jerash.
Beliau menyifatkan pencerobohan sebagai ancaman yang ditangani Jordan mengikut peraturan ketenteraan, sambil menambah yang negara itu mengambil semua langkah"perlu” untuk menghadapi pelanggaran itu.
Momani menegaskan, Angkatan Tentera Jordan-Tentera Arab (JAF) akan menggunakan semua keupayaannya untuk melindungi negara dan memastikan keselamatan rakyatnya.
"Angkatan tentera tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan peraturan ketenteraan terhadap sesiapa sahaja yang cuba menjejaskan keselamatan Jordan," katanya.
Menteri itu memberi amaran mengenai peningkatan ketegangan di rantau ini, sambil menegaskan '’Jordan tidak akan menjadi medan konflik bagi mana-mana pihak, dan tidak akan membenarkan pesawat, peluru berpandu atau dron melalui ruang udaranya,'’ lapor Petra.
Momani mengulangi seruannya kepada kuasa-kuasa yang berperang di rantau ini agar mengelakkan tindakan yang menjejaskan kedaulatan negara, menghindari menjejaskan rakyat di rantau ini, menghentikan peningkatan ketegangan yang tidak menguntungkan rakyat. - Bernama-Petra