Selangor benam Kedah di Alor Setar

Iklan
Pemain Kedah Muhammad Arif Farhan Md Isa terjatuh diasak oleh pemain Selangor Quentin Cheng Jiun Ho pada Perlawanan Liga Super Kedah Darul Aman FC bertemu Selangor FC di Stadium Darul Aman di Kedah malam ini. Foto Bernama
SELANGOR FC bangkit daripada kekalahan di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 dalam perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Pada perlawanan pertama selepas peletakan jawatan mengejut bekas ketua jurulatih Selangor Nidzam Jamil, skuad Gergasi Merah tampil dengan aksi bertenaga tetapi menerima tentangan sengit pasukan tuan rumah menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, percaturan ketua jurulatih interim Abdi Hassan membawa masuk Muhammad Aliff Izwan Yuslan membuahkan hasil apabila penyerang itu meledak gol kemenangan Selangor selepas menyempurnakan hantaran Ahmad Zikri Mohd Khalili dari sebelah kiri pada minit ke-47.

Ketika Selangor berusaha melebarkan kedudukan, pasukan tuan rumah kendalian Nafuzi Zain yang tidak mengalah hampir menyamakan kedudukan menerusi Sony Norde tetapi percubaan beliau sedikit tersasar ke kiri gol lawan pada minit ke-63.

Kemenangan di tempat lawan itu menyaksikan Selangor kekal di kedudukan kedua liga dengan mengumpul 29 mata selepas 14 perlawanan, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu JDT.

Sementara itu, Perak FC bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat PDRM FC 1-1 pada pertembungan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Selepas aksi separuh masa pertama berkesudahan tanpa jaringan, PDRM akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol menerusi Aremu Timothy yang bijak melepaskan tandukan padu untuk menyempurnakan hantaran lintang cantik Mohd Safiee Ahmad dari sebelah kanan pada minit ke-56.

Bagaimanapun, hasrat pasukan tuan rumah untuk meraih kemenangan pertama selepas hanya seri dalam tiga perlawanan terakhir tidak kesampaian selepas Luciano Guaycochea menyamakan kedudukan buat Perak menerusi sepakan percuma pada minit ke-68.

Dalam pada itu, aksi Sri Pahang FC bertemu Kuching City FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu susulan keadaan padang yang tidak sesuai untuk beraksi.

Terdahulu, perlawanan terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat pada minit ke-31 ketika pasukan pelawat sedang mendahului 1-0 hasil jaringan Yuki Tanigawa pada minit ke-14. - Bernama