PEMILIK atau pengusaha syarikat bas ekspres perlu melakukan penyelenggaraan berkala terhadap kemudahan yang disediakan bagi memastikan keselamatan pelanggan sentiasa terjamin.
Mungkin sebelum ini segelintir pemilik hanya melakukan pemeriksaan rapi pada bahagian luar kenderaan seperti enjin, fungsi brek dan tayar tetapi terlepas pandang daripada sudut lain.
Sudah pasti selain daripada keperluan yang disenaraikan itu, ada lagi komponen lain yang memerlukan perhatian utama iaitu sistem elektrik di dalam bas.
Tanpa kita sedari, perkara seperti ini jika dipandang ringan boleh menyebabkan kecederaan serius dan lebih membimbangkan mengakibatkan kematian.
Selain daripada pihak pengusaha, pengguna juga perlu memastikan soket dan kabel tidak rosak, terbakar atau ada tanda-tanda kerosakan.
Begitu juga dengan peranti yang digunakan, penyambungan alat juga hendaklah sesuai dengan soket dan lakukan semakan voltan serta watt yang dibenarkan.
Sebelum ini media melaporkan, seorang remaja maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket di dalam sebuah bas ekspres di Terminal Bas Penang Sentral, Butterworth pada jam 7.40 malam, Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, maut di tempat kejadian dengan kecederaan pada jari tangan sebelah kiri.
Menurutnya, maklumat daripada pemandu bas, mangsa dari Kampung Mesra Bagan Lalang, Butterworth menaiki bas ekspres untuk ke Kuala Lumpur Sentral pada jam 6 petang.
Ujarnya, ketika kejadian pemandu berkenaan dimaklumkan seorang penumpang lain bahawa mangsa menjerit dalam keadaan mulutnya berbuih.
Anuar berkata, hasil pemeriksaan awal pada tubuh mangsa mendapati, terdapat kesan melecur di jari tangan sebelah kiri disyaki kesan renjatan elektrik semasa mangsa mengecas telefon miliknya pada soket yang disediakan di dalam bas.
Beliau berkata, pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian pada jam 6.20 petang mengesahkan kematian mangsa dan punca kematian adalah renjatan elektrik serta tiada kecederaan lain.
Susulan daripada kejadian itu, ia mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai yang meluahkan rasa bimbang untuk menggunakan sistem elektrik di dalam bas ekspres atau pengangkutan awam lain.
Bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan terkawal, pihak yang terlibat perlu memberi kerjasama kepada polis dalam melakukan siasatan agar keadilan dapat diberikan kepada mangsa dan juga keluarganya.
Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi atau sebaran maklumat yang tidak sahih mengenai kejadian kerana bimbang akan mengganggu proses siasatan.