TEHERAN - Iran akan melancarkan dua satelit buatan tempatan yang dinamakan Kowsar dan Hodhod ke angkasa menggunakan roket Soyuz Rusia di pusat aeroangkasa negara itu, Kosmodrom Vostochny.
Satelit-satelit yang baru-baru ini diperkenalkan itu dijadualkan dilancarkan ke angkasa pada awal pagi Selasa, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Kerja mereka bentuk Satelit Kowsar bermula pada 2019 dan dihasilkan oleh syarikat Iran, Omidfaza.
Kowsar seberat 30kg itu mempunyai jangka hayat orbit dianggarkan lebih tiga tahun. Ia memiliki julat pengimejan berwarna sejauh 15km dan kadar pengimejan enam bingkai sesaat. Satelit Kowsar sesuai digunakan untuk pertanian, pemetaan tanah, dan kadaster.
Satelit Hodhod pula seberat empat kg dan mempunyai ketinggian orbit 500 km. Jangka hayat orbitnya adalah empat tahun dan digunakan dalam pertanian, pemetaan tanah, pengangkutan dan alam sekitar.
Kelebihan besar satelit Hodhod ialah keupayaannya menyediakan perkhidmatan Internet of Things (IoT), dengan liputan antarabangsa dan di kawasan terpencil, hutan, serta pergunungan, menurut IRNA.
Pelancaran satelit yang akan datang ini akan dilaksanakan oleh sektor swasta Iran, menjadikannya percubaan pertama oleh sektor berkenaan dan satu langkah besar dalam program angkasa negara itu. - Bernama