KUANTAN - Seorang pekerja sebuah ladang hilang dikhuatiri lemas ketika menjalankan aktiviti mencari kepah di kawasan muara berhampiran Pantai Balok di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa mangsa, Leong Wai Seng, 57, kira-kira jam 6.45 petang.
Menurutnya, laporan dibuat majikannya (pengadu) yang turut berada ke lokasi ketika kejadian.
"Berdasarkan keterangan, pengadu bersama tiga anaknya, mangsa dan seorang rakan sekerja warga Indonesia tiba di lokasi itu kira-kira jam 6 petang untuk beriadah.
"Mangsa yang beralamat dari Kuala Kangsar, Perak itu kemudiannya turun ke muara sungai untuk mencari kepah.
"Pengadu dan anak-anak bermain pasir di pesisir pantai manakala seorang lagi rakan mereka sedang berenang di kawasan tersebut.
"Selepas 15 minit, pengadu menyedari mangsa tiada di lokasi tersebut namun awalnya menyangkakan lelaki itu menyeberang ke tepi sungai bertentangan untuk membuang air besar," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, pengadu memanggil mangsa beberapa kali untuk naik ke darat tetapi panggilan tidak dijawab.
"Rakan sekerja mereka yang sedang berenang di muara cuba mencari mangsa tetapi lelaki itu gagal dijumpai.
"Kira-kira jam 6.30 petang pengadu telah meminta bantuan nelayan untuk mencari mangsa sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Beserah di sini atas nasihat penduduk," katanya.
Beliau berkata, susulan maklumat, pihaknya ke lokasi kejadian dan mendapati usaha mencari mangsa dijalankan menggunakan dua bot nelayan.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan melibatkan pelbagai agensi menyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), AgensibPenguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dibantu penduduk setempat.
"Kira-kira jam 10.30 malam, operasi pencarian dihentikan dan disambung semula hari ini (Ahad)," katanya.