HARRY Kane mahu membawa aura positif Bayern Munich dalam saingan Bundesliga ke Liga Juara-Juara (UCL) setelah membenam Union Berlin, 3-0 lewat malam Sabtu.
Bayern bergelut dalam saingan di pentas Eropah itu apabila hanya menang sekali ke atas Dinamo Zagreb 9-2 sebelum tewas 0-1 kepada Aston Villa dan kalah 1-4 kepada Barcelona.
Berbeza dalam kancah domestik skuad bimbingan Vincent Kompany itu memimpin carta liga dengan 23 mata berkelebihan tiga mata dengan pencabar terdekat, RB Leipzig.
"Kami tidak memulakan UCL dengan baik, jadi tekanan adalah untuk mengharungi perlawanan berikutnya.
"Saya fikir jika menggunakan keyakinan yang dimiliki dalam beberapa perlawanan terakhir, kami boleh mencetus banyak masalah kepada mana-mana pasukan," ujar Kane.
Dalam aksi di Munich tersebut, kapten England itu meledak dua gol dan satu bantuan jaringan bagi membolehkan Bayern menyumbat 16 gol tanpa balas dalam empat perlawanan terakhir menentang kelab Jerman.
Kane meletakkan Bayern di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-15 selepas pemain Union, Benedict Hollerbach menjatuhkan Michael Olise di penjuru kotak penalti.
Beliau kemudian mengumpan gol kedua sejurus sebelum rehat, menampan bola ke kaki Kingsley Coman dengan penyerang Perancis itu merembat kencang melepasi penjaga gol Union, Frederik Ronnow.
Kane menambah gol ketiga selepas 51 minit, meluru menyambut bola muntah di depan rakan sepasukan Jamal Musiala untuk melengkapkan jaringan keduanya.
"Perjalanan (Bundesliga dan UCL) masih jauh, tetapi kami mempunyai mentaliti dan sikap yang tepat.
"Jika kami berterusan begini, segala-galanya akan baik. Kami berada dalam keadaan yang bagus," ujar Kane.
Selepas ini Bayern akan melayan kunjungan Benfica di Munich untuk perlawanan keempat UCL pada 7 November ini.