Mangsa teruja turun cari kepah sebelum hilang - Rakan

Iklan
Samuel berada di lokasi kejadian bagi mengikuti perkembangan pencarian rakannya yang dikhuatiri lemas di muara Sungai Balok di sini. Gambar kecil: Leong Wai Seng

KUANTAN -"Dia datang bersama rakan sekerja menemui saya semalam (Sabtu) dan beriya-iya mengajak datang ke sini (muara Sungai Balok) untuk mencari kepah.

"Sejurus kami sampai kira-kira jam 6 petang, dia terus turun ke air dan nampak begitu teruja kerana pertama kali berpeluang mencari kepah di sini," cerita Samuel Ngik, 69 rakan kepada Leong Wai Seng, 57, yang dikhuatiri lemas di muara Sungai Balok.

Iklan
Iklan

Samuel yang juga pengusaha ladang rumput Napier berkata, hanya mangsa yang turun ke air ketika itu manakala dia dan tiga anak yang datang bersama hanya berada di kawasan pantai.

"Dia dilihat menyeberangi muara kerana ketika itu air sedang surut.

Iklan

"Kira-kira setengah jam kemudian, air mula pasang dan ketika itu saya menyedari mangsa tidak kelihatan di lokasi terakhir dia berada," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.

Anggota bomba turut menbantu dalam operasi SAR mencari mangsa yang dikhuatiri lemas di muara Sungai Balok di sini.

Samuel yang tinggal sekitar Balok berkata, menyedari kehilangan mangsa, dia cuba memanggil rakannya itu namun panggilan tidak bersahut.

Iklan

"Saya minta rakan sekerja warga Indonesia bantu mencari namun mangsa gagal ditemui lalu cuba mendapatkan bantuan nelayan yang kebetulan berada di jeti berhampiran.

"Saya kemudian membuat laporan polis untuk bantuan mencari dan menyelamat (SAR)," ujarnya.

Sementara itu, menurutnya lagi, mangsa dari Kuala Kangsar datang ke Balok kira-kira enam bulan lalu untuk mencari kerja.

Pasukan penyelamat meneruskan operasi SAR mencari mangsa yang dikhuatiri lemas di muara Sungai Balok di sini.

"Dia datang menemui saya ketika itu minta carikan kerja.

"Kebetulan saya memerlukan pekerja dan menempatkannya di ladang Napier yang diusahakan di Padang Hangus di sini sebagai penjaga," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja ladang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika menjalankan aktiviti mencari kepah di kawasan muara Sungai Balok di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa mangsa kira-kira jam 6.45 petang.

Sehingga jam 11 pagi pada Ahad, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR disertai pasukan penyelamat termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih diteruskan.