Keputusan kes Jahidah ditangguh, bekas suami alami sesak nafas

Iklan
Dua adik Jahidah, Fauziah (tengah) dan Mujahid (kiri) hadir bagi mengikuti keputusan kes pukul Jahidah sehingga koma di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.

JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, menangguhkan keputusan kes peniaga yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya sehingga koma tiga tahun lalu, ke tarikh 9 Disember ini.

Hakim Fatimah Zahari yang sepatutnya menjatuhkan hukuman ke atas Rosmaini Abd Raof, 41, dimaklumkan tertuduh tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke Hospital Pendang akibat sesak nafas, petang Sabtu.

Iklan
Iklan

Peguam tertuduh, Mohd Salleh Togimin menyerahkan surat kemasukan hospital selain nombor wad dan katil tertuduh kepada mahkamah.

"Saya dimaklumkan oleh isteri tertuduh bahawa tertuduh diserang sesak nafas sehingga tidak sedarkan diri selepas bermain bola sepak petang semalam.

Iklan

"Bagaimanapun, saya tidak berhubung secara langsung dengan tertuduh sebaliknya hanya dimaklumkan isterinya," katanya kepada mahkamah.

Hakim kemudian menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh keputusan di akhir pembelaan kes berkenaan.

Iklan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Salleh, Kamal Hisham Jaafar dan Aina Kamila Zalizam.

Peguam pemerhati yang mewakili keluarga Jahidah Nordin@Sylvester, 46, iaitu Muhammad Hazeem Mohd Norizan, dan Syufri A Samad, turut hadir mengikuti prosiding berkenaan.

Fauziah hadir seawal jam 8.30 pagi untuk mengikuti keputusan kes pukul kakaknya, Jahidah sehingga koma di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.

Sebelum itu, dua adik Jahidah iaitu Fauziah, 43, dan Mujahid 45, hadir di mahkamah seawal jam 8.30 pagi bagi mengikuti keputusan kes berkenaan.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini, dilaporkan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri ketiga, Jahidah, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Fauziah (duduk, kanan) tiba Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi mengikuti keputusan kes pukul kakaknya, Jahidah.

Kes Jahidah pernah menggemparkan negara sebelum ini kerana wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.

Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, di Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilaporkan membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.