Jahidah masih terlantar, anak kini berstatus OKU

Iklan
Fauziah hadir bagi mendengar keputusan kes kakaknya, Jahidah di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru pada Ahad.

JOHOR BAHRU - Keadaan wanita yang sebelum ini koma dipukul suami, Jahidah Nordin, 46 masih masih terlantar di atas katil manakala anaknya kini berstatus orang kurang upaya (OKU).

Perkembangan itu dimaklumkan adik Jahidah, Fauziah, 43, ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini, pada Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Eshan Nufail kini sudah berusia 3 tahun namun masih tidak mampu berjalan dan bertutur seperti kanak-kanak normal lain sebayanya.

"Keadaan kakak (Jahidah) masih sama, hanya terbaring atas katil, diberikan susu menerusi tiub dan perlu diuruskan keluarga sepenuhnya.

Iklan

"Sementara Eshan Nufail, disahkan sebagai OKU kerana pertumbuhan yang perlahan termasuk masih tidak boleh bercakap serta berjalan selain memiliki berat hanya 9.5 kilogram.

"Eshan juga perlu menjalani rawatan fisioterapi dan amat memerlukan perhatian rapi dari kami sekeluarga," katanya.

Iklan

Fauziah tiba dari Nilai, Negeri Sembilan, pada Sabtu ditemani abangnya Mujahid, 46, yang datang dari Kota Kinabalu, Sabah.

Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Ahad menangguhkan keputusan kes peniaga yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin@Sylvester sehingga koma tiga tahun lalu ke tarikh 9 Disember depan, selepas tertuduh tidak hadir ke mahkamah.

Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan itu selepas peguam tertuduh, Mohd Salleh Togimin, memaklumkan anak guamnya, Rosmaini Abd Raof, 41, dimasukkan ke Hospital Pendang, akibat sesak nafas, petang Sabtu.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini, dilaporkan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, itu.

Kes Jahidah itu pernah menggemparkan negara berikutan wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.