Ribut Kemaman: Kerajaan negeri salur RM4.2 juta baik pulih rumah

Iklan
Ahmad Samsuri (kiri), Laporan Sinar Harian

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.2 juta bagi kos membaik pulih ratusan rumah berikutan kejadian ribut dan hujan batu di daerah Kemaman pada 23 Oktober lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan ketika ini kerja membaik pulih kerosakan rumah penduduk masih berjalan dengan kemajuan antara 70 hingga 80 peratus.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan kerosakan yang dilaporkan adalah melibatkan bumbung dan atap rumah yang tercabut.

"Baik pulih bumbung ini tidak mengambil masa yang lama seperti kerosakan melibatkan struktur bangunan. Kejadian ribut yang berlaku itu memang melibatkan semua daerah, namun dua daerah iaitu Dungun dan Kuala Nerus menerima kesan kerosakan yang minimum sahaja," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024 di Wisma Darul Iman di sini pada Ahad.

Pada 23 Oktober lepas, bandar Chukai dan kawasan dalam radius kira-kira tiga kilometer di sekitarnya dikejutkan dengan fenomena hujan air batu yang turut disertai ribut kuat.

Iklan

Kejadian yang berlaku jam 4 petang dan berlangsung selama 10 hingga 15 minit itu, mengakibatkan 244 buah rumah dan tujuh sekolah mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian bumbung.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai status terkini baki royalti yang belum dibayar oleh kerajaan Persekutuan, Ahmad Samsuri memaklumkan tiada perkembangan terbaharu mengenai isu berkenaan.

"Yang adanya adalah... kita dapat kalau kita tuntut di atas keperluan-keperluan yang kita nyatakan dan sekiranya diluluskan tuntutan tersebut, dapatlah.

"Cuma segala pembayaran tersebut tidak terus kepada akaun kerajaan negeri kecuali yang berkait dengan pembayaran emolumen (gaji) sahaja.

"Kalau kita ada keperluan termasuk bencana dan sebagainya kita akan buat surat, akan ambil masa untuk mereka (kerajaan pusat) buat keputusan,” jelasnya.